MELBOURNE: Seorang banduan mencabar larangan kerajaan negeri Australia terhadap pengambilan Vegemite oleh penghuni penjara, dengan mendakwa tindakan menyekat sapuan yis yang menjadi ikon makanan negara itu melanggar hak asasinya untuk menikmati budaya sebagai rakyat Australia.
Andre McKechnie, 54, yang menjalani hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh, membawa isu itu ke Mahkamah Agung Victoria, menurut dokumen mahkamah yang dikeluarkan kepada The Associated Press pada Selasa.
Walaupun dianggarkan lebih 80 peratus isi rumah Australia menyimpan sekurang-kurangnya satu balang Vegemite di dapur mereka, semua 12 penjara di Victoria melarang banduan daripada menikmati makanan kegemaran rakyat itu, yang biasanya disapu nipis pada roti bakar sarapan pagi. Vegemite diklasifikasikan sebagai barang larangan.
McKechnie memfailkan saman terhadap Jabatan Kehakiman dan Keselamatan Komuniti Victoria serta agensi pengurusan penjara, Corrections Victoria. Perbicaraan dijadualkan berlangsung tahun depan.
Akta Hak Asasi Victoria menjamin hak semua individu daripada latar budaya, agama, kaum atau bahasa tertentu untuk menikmati budaya mereka, mengisytihar dan mengamalkan agama serta menggunakan bahasa mereka.
McKechnie turut menuntut deklarasi bahawa pihak defendan melanggar Akta Koreksi kerana gagal menyediakan makanan yang mencukupi untuk mengekalkan kesejahteraannya.
Beliau mahu mahkamah mengarahkan agar keputusan melarang Vegemite dibuat semula mengikut undang-undang.
Vegemite telah diharamkan di penjara Victoria sejak 2006, dengan Corrections Victoria menjelaskan bahawa bahan itu mengganggu anjing pengesan narkotik.
Banduan sebelum ini dilaporkan menyapu bungkusan dadah haram dengan Vegemite bagi mengaburi deria bau anjing pengesan.
Vegemite juga mengandungi yis, yang turut dilarang di penjara Victoria kerana berpotensi digunakan untuk menghasilkan alkohol, menurut senarai barang larangan. -AGENSI










