LONDON: Dua pegawai tertinggi British Broadcasting Corporation (BBC) meletak jawatan semalam selepas menerima tekanan hebat berhubung dakwaan berat sebelah dalam laporan berita, termasuk cara penyiaran itu menyunting ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ketua Pengarah BBC, Tim Davie, dan Ketua Eksekutif Bahagian Berita, Deborah Turness, mengambil keputusan berundur selepas laporan dalaman oleh bekas penasihat piawaian BBC bocor kepada akhbar Daily Telegraph.
Laporan itu mendakwa BBC gagal mengekalkan ketelusan dalam liputan perang Israel-Hamas, isu transgender, serta penyuntingan ucapan Trump.
Trump menyambut baik peletakan jawatan tersebut sambil menuduh kedua-dua pegawai itu sebagai ‘tidak jujur’.
Beliau merujuk kepada dokumentari Panorama yang menyunting dua bahagian berasingan ucapannya hingga memberi gambaran seolah-olah beliau menggalakkan rusuhan di Capitol Hill pada Januari 2021.
Davie mempertahankan BBC sebagai organisasi berita bertaraf dunia, namun mengakui berlaku kesilapan dan berkata beliau perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya.
Turness dalam emel kepada kakitangan menafikan dakwaan BBC mempunyai bias institusi, sambil menegaskan laporan yang dibuat terhadap jabatan berita tidak berasas.
Peletakan jawatan kedua-dua tokoh ini berlaku ketika BBC berdepan pelbagai kontroversi termasuk dakwaan kecenderungan liberal, tekanan politik, serta skandal dalaman yang menjejaskan reputasi organisasi penyiaran tertua dunia itu.
Menteri Kebudayaan Britain, Lisa Nandy, mengucapkan terima kasih kepada Davie untuk jasanya, sambil memuji kepemimpinan beliau.
Keputusan Davie mengejutkan lembaga pengarah, namun beliau akan kekal beberapa bulan lagi sementara pengganti dilantik.










