Demokrat menang besar siri pilihan raya utama negeri, beri tamparan kepada Republikan

Demokrat menang besar siri pilihan raya utama negeri, beri tamparan kepada Republikan

ZOHRAN Mamdani meraikan kemenangannya ketika acara malam pilihan raya di Teater Paramount Brooklyn di Brooklyn, New York.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK CITY: Pengundi di New York memilih ahli politik muda berhaluan kiri, Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar baharu dengan kemenangan besar Demokrat dalam pertarungan utama di beberapa kawasan seluruh negara memberikan amaran awal kepada Presiden, Donald Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal 2026.

Zohran mencipta sejarah sebagai datuk bandar Islam pertama di bandar itu dan yang termuda di AS dalam tempoh lebih satu abad.

Beliau memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kos sara hidup bagi rakyat New York biasa, membina sokongan melalui gaya peribadi yang santai dan klip mesra media sosial yang memaparkannya berjalan sambil berbual dengan pengundi.

Walaupun kebangkitan Zohran menjadi tajuk utama, perlumbaan gabenor di Virginia dan New Jersey serta satu usul persempadanan semula di California juga dianggap sebagai petunjuk awal terhadap hala tuju politik di AS selepas hampir 10 bulan Trump kembali ke Rumah Putih.

Kemenangan besar Demokrat dalam pilihan raya negeri juga menandakan kebangkitan semula pihak pembangkang menjelang pilihan raya pertengahan tahun depan yang akan menentukan kawalan Kongres.

Dorongan ketara kepada Demokrat datang dari California yang menyaksikan pengundi meluluskan rancangan untuk melukis semula peta kongres negeri itu bagi memihak kepada parti tersebut, sekali gus memperluaskan pertempuran nasional mengenai persempadanan semula yang akan membentuk persaingan bagi Dewan Perwakilan AS.

Para calon yang menang pada Rabu berpotensi menyuntik semula semangat dan menggalakkan penglibatan lebih aktif daripada pengundi Demokrat dengan ramai antara mereka yang menggesa kemunculan wajah baharu sebagai peneraju parti. 

Kadar keluar mengundi dalam pemilihan datuk bandar New York juga adalah yang tertinggi sejak 1969.

Di Pennsylvania, hakim-hakim Mahkamah Agung daripada Parti Demokrat berjaya memenangi undian untuk mengekalkan jawatan mereka, membolehkan Demokrat mengukuhkan majoriti dalam mahkamah tertinggi di negeri medan pertempuran utama itu, di mana cabaran undang-undang terhadap peraturan pengundian hampir pasti berlaku.

Trump bagaimanapun enggan mengambil tanggungjawab atas keputusan tersebut. 

Dalam satu hantaran di platform Truth Social, beliau memetik penganalisis tanpa nama mendakwa kekalahan Republikan berpunca daripada penutupan kerajaan dan hakikat bahawa namanya tidak berada pada kertas undi.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN