IPOH: Pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2027 pada 24 November ini mencipta kelainan apabila buat pertama kalinya khidmat jurubahasa isyarat disediakan bagi membolehkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran mengikuti pembentangan berkenaan.
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, penyediaan kemudahan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan penyampaian maklumat berkaitan belanjawan dapat diakses secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat termasuk golongan OKU.
“Ini merupakan kali pertama kita mendapatkan khidmat jurubahasa isyarat dan seramai dua jurubahasa akan bertugas secara bergilir-gilir sepanjang pembentangan belanjawan oleh Menteri Besar.
“Kita akan cuba menyediakan perkhidmatan ini sepanjang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu nanti. Insya-Allah, kita akan berusaha memastikan khidmat sama dapat disediakan pada setiap persidangan,” katanya pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Yang Kelima Belas Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Menurut beliau, Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Yang Kelima Belas Perak Darul Ridzuan akan berlangsung selama lapan hari bermula 24 November hingga 3 Disember ini.
Katanya, tempoh persidangan kali ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila setiap sesi dijangka berakhir lebih awal seawal pukul 1 tengah hari dan paling lewat pada pukul 3.30 petang.
“Antara sebab kita memendekkan setiap sesi adalah bertujuan memberi ruang kepada petugas media membuat liputan dan menyiapkan tugasan, selain memastikan urusan dan tugas rasmi kerajaan negeri dapat diteruskan seperti biasa pada sebelah petang,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang ingin mengikuti perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak secara langsung boleh berbuat demikian menerusi saluran YouTube DUN Perak.
“Pautan siaran langsung itu turut boleh diakses menerusi Portal Dewan Negeri Perak, Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak dan laman Facebook rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sepanjang tempoh persidangan berlangsung,” katanya. – UTUSAN











