WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengarahkan pihak berkuasa meneliti hubungan pesalah seksual, Jeffrey Epstein dengan bekas Presiden AS, Bill Clinton, susulan pendedahan emel baharu yang menimbulkan persoalan mengenai hubungannya dengan mendiang.
Trump, 79, turut meminta Jabatan Keadilan dan FBI menyiasat gergasi perbankan JPMorgan Chase serta bekas Presiden Universiti Harvard, Larry Summers, yang pernah menjadi Setiausaha Perbendaharaan Clinton, selepas emel menunjukkan Epstein mendakwa Trump “tahu tentang gadis-gadis itu” dan menghabiskan berjam-jam dengan seorang daripada mangsa di rumahnya.
Beliau menafikan sebarang salah laku tetapi pertanyaan mengenai persahabatannya dengan Epstein terus membelenggunya sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu.
Epstein meninggal dunia di penjara pada 2019, disahkan sebagai bunuh diri, sebelum menghadapi perbicaraan bagi dakwaan penyeludupan seksual.
Trump berkata, beliau akan meminta Peguam Negara, Pam Bondi dan FBI menyiasat penglibatan Epstein dengan Clinton, Summers, Reid Hoffman, JPMorgan Chase serta individu dan institusi lain yang dikaitkan dengan Epstein.
“Rekod menunjukkan mereka menghabiskan sebahagian besar hidup bersama Epstein di pulau miliknya,” katanya.
Tindakan Trump itu diambil walaupun FBI dan Jabatan Keadilan pada Julai lalu menyatakan tiada bukti mencukupi untuk menyiasat pihak ketiga yang tidak didakwa, termasuk dakwaan senarai pelanggan yang diperiksa Bondi didakwa tidak wujud.
Trump memberi penjelasan selepas dua hari berdiam diri berhubung skandal yang menjejaskan pencapaiannya selepas Demokrat bersetuju menamatkan penutupan kerajaan terpanjang dalam sejarah AS.
Beliau menegaskan usaha Kongres untuk mendedahkan fail-fail berkenaan tidak diperlukan kerana beliau mempunyai “negara untuk diuruskan”.










