JIUQUAN: China melancarkan misi terbaharunya ke Stesen Angkasa Tiangong menerusi kapal angkasa Shenzhou-21 yang membawa tiga angkasawan termasuk angkasawan termuda negara itu serta empat ekor tikus makmal untuk tujuan penyelidikan.
Menurut agensi berita rasmi Xinhua, kapal angkasa Shenzhou-21 berjaya berlabuh di stesen angkasa Tiangong pada 3.22 pagi Sabtu kira-kira tiga jam setengah selepas berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China dengan roket Long March-2F.
Stesen angkasa Tiangong yang dikendalikan oleh pasukan tiga angkasawan yang digilirkan setiap enam bulan merupakan projek kebanggaan China dan dianggap sebagai permata utama dalam program angkasanya.
Negara itu telah melabur berbilion dolar bagi memperkukuh keupayaannya dan menyaingi Amerika Syarikat (AS) serta Russia dalam penerokaan angkasa lepas.
China turut merancang misi bercita-cita tinggi untuk menghantar angkasawan ke bulan menjelang penghujung dekad ini, diikuti pembinaan pangkalan kekal di permukaan bulan pada masa hadapan.
Misi kali ini diketuai oleh Komander Zhang Lu, seorang juruterbang angkasa berpengalaman, bersama Jurutera Penerbangan Wu Fei, 32 tahun yang juga angkasawan termuda China menyertai misi ke angkasa serta Pakar Muatan Zhang Hongzhang, 39 tahun.
Ketiga-tiga angkasawan itu melambai selamat tinggal kepada rakan setugas dan ahli keluarga mereka di tapak pelancaran terpencil di Gurun Gobi sambil diiringi alunan lagu patriotik.
Dalam sidang media pada Khamis lalu, Zhang Lu menyatakan keyakinannya bahawa pasukannya akan melaporkan kejayaan penuh kepada tanah air dan rakyat China.
Sementara itu, Wu Fei yang menyertai misi angkasa buat kali pertama menyifatkan dirinya sebagai amat bertuah dapat menjadi sebahagian daripada misi bersejarah itu.
Turut serta dalam penerbangan kali ini ialah empat ekor tikus makmal, dua jantan dan dua betina yang menjadi subjek kepada eksperimen biologi pertama China melibatkan haiwan di orbit.
Program angkasa China kini menjadi yang ketiga di dunia berjaya menghantar manusia ke orbit, selepas AS dan bekas Kesatuan Soviet.
Di bawah kepimpinan Presiden Xi Jinping, Beijing terus mempergiat usaha merealisasikan impian angkasa negaranya. Antara pencapaian terdahulu termasuk kejayaan pendaratan prob Chang’e-4 di bahagian jauh bulan pada 2019 yang pertama seumpamanya dalam sejarah serta pendaratan robot kecil di planet Marikh pada 2021. -AGENSI










