Bolsonaro dakwa ‘halusinasi’ punca ubah suai alat pengesan elektronik - Utusan Malaysia

Bolsonaro dakwa ‘halusinasi’ punca ubah suai alat pengesan elektronik

JAIR BOLSONARO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRASILIA: Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, mendakwa beliau ‘berhalusinasi’ yang berpunca daripada pengambilan ubat-ubatan sehingga menyebabkannya mengubah suai alat pengesan elektronik ketika berada dalam tahanan rumah atas cubaan rampasan kuasa.

Dalam prosiding reman secara dalam talian pada Ahad, sehari selepas beliau ditahan berhubung insiden tersebut, Bolsonaro memberitahu seorang hakim Mahkamah Agung gabungan mengenai ubat-ubatan yang diberikan oleh beberapa doktor telah menimbulkan ‘paranoia’ sehingga mendorongnya mengambil alat pemateri untuk menanggalkan bahagian pada peranti itu.

“[Bolsonaro] beritahu beliau mengalami ‘halusinasi’ bahawa terdapat alat perisik pada pengesan elektronik itu, menyebabkan beliau cuba membuka bahagian tersebut,” kata Penolong Hakim, Luciana Sorrentino dalam dokumen mahkamah yang disiarkan sejurus selepas sesi berkenaan.

Bolsonaro sebelum ini diletakkan di bawah tahanan rumah sementara menunggu rayuan sabitan cubaan rampasan kuasa ketenteraan selepas kekalahannya pada pilihan raya 2022.

Namun, beliau ditahan pada Sabtu selepas polis melaporkan terdapat percubaan memusnahkan alat pengesan tersebut yang dianggap menimbulkan risiko melarikan diri.

Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes mengarahkan penahanan itu beberapa jam selepas menerima maklumat pada pukul 12.08 tengah malam waktu tempatan mengenai tag pengawasan berkenaan telah diusik.

Bolsonaro bagaimanapun menafikan beliau cuba melarikan diri dan menegaskan tindakan itu berpunca daripada ubat baharu yang mula diambil empat hari sebelum insiden penahanan.

“Menurut saksi, sekitar tengah malam beliau mengusik alat tersebut, kemudian ‘tersedar’ dan menghentikan penggunaan alat pemateri itu sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada pegawai yang bertugas,” menurut dokumen mahkamah itu.

Sesi pada Ahad itu bersifat prosedur, namun memberi ruang kepada peguam Bolsonaro untuk berhujah bekas presiden itu wajar kekal dalam tahanan rumah kerana masalah kesihatan.

Pada September lalu, panel Mahkamah Agung Brazil memutuskan Bolsonaro bersalah kerana cuba melancarkan rampasan kuasa dan mengekalkan kuasa selepas tewas kepada Luiz Inacio Lula da Silva pada 2022, sekali gus menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun tiga bulan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN