SONGKHLA: Seorang lelaki Thailand yang terperangkap dalam banjir besar di Hat Yai melepaskan tiga das tembakan ke udara selepas mendakwa lewat diberi bantuan oleh pasukan penyelamat yang menaiki jet ski.
Insiden itu diceritakan oleh seorang anggota penyelamat dari wilayah Surat Thani, Tee Inkjet, melalui akaun Facebook miliknya, yang memaklumkan kejadian berlaku sekitar pukul 8 malam Selasa lalu ketika operasi menyelamat dijalankan.
Dia turut memuat naik gambar jet ski yang digunakan bersama pesanan meminta penduduk agar bertenang.
“Penduduk Hat Yai, tolong bertenang. Saya tidak dapat bantu semua pada masa yang sama, tetapi itu tidak bermakna saya tidak mahu membantu. Saya bawa 300 kotak makanan namun semuanya habis selepas singgah di tiga rumah kerana terlalu ramai orang. Saya terkejut apabila terdengar bunyi tembakan di belakang,” katanya.
Tee kemudiannya memaklumkan dia tidak menyangka berdepan ugutan bersenjata ketika datang dari Surat Thani khusus untuk membantu mangsa banjir di Songkhla.
“Saya kemas jet ski saya dan balik dulu, maaf,” jelasnya. Tiada kecederaan dilaporkan.
Seorang lagi anggota penyelamat memaklumkan lelaki bersenjata itu kemudian menghubungi kumpulan mereka, menuntut dirinya dan keluarga diselamatkan terlebih dahulu. Identiti suspek belum didedahkan.
Timbalan Ketua Parti Demokrat, Jury Noomkaew, mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan terdapat penduduk yang menunjukkan tingkah laku agresif akibat tekanan dan kekangan bantuan.
Beliau menjelaskan pasukan penyelamat terpaksa memberi keutamaan kepada kes kritikal seperti keluarga yang terputus bekalan makanan lebih tiga hari, pesakit terlantar, mangsa tenat dan keluarga dengan anak kecil.
Dalam beberapa video yang dikongsi di TikTok, penduduk kelihatan menjerit meminta bantuan serta memohon dipindahkan ketika bot penyelamat melalui kawasan mereka. Pasukan penyelamat pula merayu agar orang ramai memahami prosedur operasi yang perlu mengutamakan keselamatan.
Insiden lebih serius turut dilaporkan pada malam Rabu apabila Yayasan Penyelamat San Kampaeng dari Chiang Mai terpaksa membatalkan operasi selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan lebih 20 das tembakan ke arah bot mereka. Tiada kecederaan dilaporkan.
Banjir besar yang melanda sejak Isnin telah menenggelamkan 10 wilayah selatan Thailand termasuk Surat Thani, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat. – AGENSI










