Bencana alam di Vietnam ragut 409 nyawa, kerugian lebih RM13 bilion

Bencana alam di Vietnam ragut 409 nyawa, kerugian lebih RM13 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Vietnam berdepan bencana alam luar biasa sejak awal tahun ini dengan 409 orang dilaporkan maut atau hilang, manakala kerugian ekonomi dianggarkan melebihi VND85 trilion (RM13 bilion), menurut Jabatan Pengurusan Tanggul dan Pencegahan Bencana.

Dalam satu forum ramalan bencana dan amaran awal, pegawai jabatan tersebut memaklumkan negara itu mengalami siri bencana berturut-turut sepanjang tahun, termasuk ribut, banjir serta hujan ekstrem yang menjejaskan kawasan luas.

Pihak berkuasa melaporkan 727 cedera, lebih 337,000 rumah rosak atau musnah, selain kerosakan besar kepada sektor pertanian apabila hampir 553,500 hektar sawah padi dan tanaman serta 376,800 hektar ladang lain ditenggelami air.

Setakat ini, Vietnam merekodkan 19 ribut dan tekanan rendah tropika di Laut China Selatan, hanya kurang satu daripada rekod 2017 manakala satu lagi sistem cuaca berhampiran Filipina dijangka menguat menjadi ribut ke-15 tahun ini apabila memasuki perairan tersebut.

Hujan ekstrem turut menyebabkan paras air 13 sungai di wilayah utara dan tengah melampaui rekod banjir, sekali gus menenggelamkan kawasan bandar serta rendah dari Hanoi dan Bac Ninh hingga ke Thanh Hoa, Nghe An, Quang Tri, Hue, Da Nang, Gia Lai dan Dak Lak.

Beberapa kawasan dilanda bencana bertindih termasuk ribut, banjir berturut-turut, banjir kilat dan tanah runtuh khususnya di wilayah pergunungan utara serta kawasan tengah yang mengancam empangan, laluan pengangkutan, infrastruktur dan keselamatan penduduk.

Banjir besar pada 16 hingga 20 November di Vietnam tengah sahaja mengorbankan 102 orang atau menyebabkan mereka hilang, menenggelamkan lebih 200,900 rumah, mengakibatkan 119 kejadian tanah runtuh serta merosakkan lebih 82,100 hektar tanaman.

Kerugian awal dianggarkan mencecah VND13.248 trilion (RM2.077 bilion).

Pegawai memberi amaran Vietnam tengah masih berdepan risiko banjir menjelang akhir tahun ini, dengan tekanan rendah tropika berhampiran Filipina dijangka membawa hujan lebat ke pantai selatan-tengah.

Pihak berkuasa meminta wilayah-wilayah terlibat memanfaatkan cuaca baik untuk membaiki kerosakan serta bersiap sedia menghadapi gelombang bencana seterusnya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN