MANILA: Pihak berkuasa Filipina menahan tujuh individu berkaitan kes rasuah melibatkan projek kawalan banjir bernilai berbilion dolar, umum Presiden Ferdinand Marcos Jr. pada Isnin, ketika polis memburu sembilan lagi suspek yang dinamakan dalam waran tangkap.
Filipina antara negara paling terdedah kepada taufan di dunia telah dilanda skandal rasuah itu sejak beberapa bulan lalu selepas siasatan mendedahkan penyelewengan besar dalam projek pencegahan dan mitigasi banjir.
Dalam satu pendengaran Senat pada September, Setiausaha Kewangan Ralph Recto berkata, kerugian ekonomi negara mungkin mencecah purata AS$2.1 bilion (RM8.68 bilion) setahun dari 2023 hingga 2025, sebahagian besarnya berpunca daripada projek ‘hantu’.
Apabila beberapa tokoh politik berpengaruh turut didapati terlibat, Marcos menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas diketuai bekas hakim mahkamah agung, dan berikrar untuk mendakwa semua yang bersalah tanpa mengira kedudukan.
Selepas siasatan selama dua bulan, kumpulan pertama lebih sedozen suspek termasuk bekas ahli parlimen Zaldy Co dan beberapa jurutera Jabatan Kerja Raya telah didakwa di mahkamah khas antirasuah. Marcos sebelum ini berjanji mereka akan dipenjarakan sebelum Krismas.
“Daripada 16 individu yang dinamakan dalam tiga waran, pihak berkuasa telah menangkap tujuh, dua dijangka menyerah diri, sementara tujuh lagi masih bebas, termasuk Zaldy Co,” katanya dalam satu kenyataan video.
“Kepada semua yang masih diburu, nasihat saya: Serah diri. Jangan tunggu sehingga anda dihujani tangkapan,” tambahnya.
Setiausaha Kerja Raya dan Lebuh Raya, Vince Dizon, memberitahu wartawan di Manila bahawa lebih banyak tangkapan dijangkakan kerana kumpulan pertama ini hanya dikaitkan dengan projek kawalan banjir bernilai AS$4.8 juta (RM19.84 juta) di wilayah Oriental Mindoro.
“Kita kini berada pada tahap di mana mereka yang bertanggungjawab akan dipertanggungjawabkan. Ini baru permulaan.
“Lebih banyak kes akan menyusul. Lebih ramai akan didakwa. Lebih ramai akan ditangkap,” katanya.
Daripada peruntukan 545 bilion peso (RM38.24 bilion) sejak 2022, ribuan projek didapati tidak memenuhi piawaian, tidak mempunyai dokumentasi mencukupi atau langsung tidak wujud. -ARABNEWS










