Bekas ahli politik Britain buang air kecil di taman awam - Utusan Malaysia

Bekas ahli politik Britain buang air kecil di taman awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Bekas tokoh kanan Parti Buruh, Peter Mandelson kini disiasat Majlis Daerah Kensington dan Chelsea selepas beliau didakwa membuang air kecil di tempat awam di kawasan elit Notting Hill, London Barat, minggu lalu.

Mandelson yang juga bekas duta Amerika Syarikat (AS), kemungkinan dikenakan denda jika didapati melanggar undang-undang kecil tempatan.

Majlis tersebut mengesahkan siasatan dijalankan selepas laporan awal mengenai kejadian itu disiarkan oleh Daily Mail.

Ahli majlis, Johnny Thalassites, yang memegang portfolio alam sekitar dan perancangan menyifatkan tindakan menggunakan ruang awam sebagai tandas peribadi sebagai tidak boleh diterima.

“Kami sedar imej yang menunjukkan seorang ahli politik terkenal sedang kencing di salah satu jalan di bandar ini, dan sedang menyiasat sama ada kesalahan telah dilakukan.

“Walaupun kami faham keperluan mendesak boleh terjadi pada waktu tidak sesuai, kami bangga dengan kebersihan jalan dan ruang awam di kawasan ini dan tidak boleh menerima sesiapa menjadikannya tandas awam,” katanya.

Perbuatan membuang air kecil di tempat awam merupakan satu kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam 1986, yang boleh diselesaikan melalui amaran, notis kompaun atau pendakwaan.

Gambar yang tersebar menunjukkan Lord Mandelson membuang air kecil sebelum jam 11 malam ketika menunggu Uber selepas melawat kediaman bekas Canselor Perbendaharaan, George Osborne, pada Rabu lalu.

Saksi mengatakan beliau kelihatan tidak terurus dan turut memercikkan air kencing ke kasutnya sendiri.

Dinding yang menjadi lokasi insiden itu milik jiran Osborne, James Reed, jutawan di sebalik Reed Recruitment, yang sebelum ini lantang mengkritik dasar ekonomi Parti Buruh. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN