Banjir terburuk dalam tempoh 25 tahun, penduduk Hat Yai diarah berpindah segera - Utusan Malaysia

Banjir terburuk dalam tempoh 25 tahun, penduduk Hat Yai diarah berpindah segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAT YAI: Penduduk bandar Hat Yai diarahkan berpindah serta-merta hari ini selepas banjir terburuk dalam tempoh 25 tahun di wilayah Songkhla semakin meruncing berikutan limpahan air dari daerah Sadao.

Arahan itu diumumkan oleh Gabenor Songkhla, Ratthasart Chidchu, selepas keadaan banjir bertambah kritikal sejak pagi. Semua penduduk di daerah Hat Yai diminta menuju ke zon selamat yang telah ditetapkan.

Pejabat Perhubungan Awam Songkhla memaklumkan semua 16 daerah di wilayah itu kini diisytihar sebagai kawasan bencana.

Ratthasart menegaskan keselamatan nyawa menjadi keutamaan dan pemindahan perlu diberi tumpuan di kawasan paling teruk terjejas.

Hujan lebat berterusan dan aliran deras dari hulu meningkatkan paras air dengan cepat sehingga berpotensi mengatasi bencana banjir besar tahun 2000.

Antara pusat pemindahan yang dibuka termasuk Pusat Konvensyen Antarabangsa Universiti Prince of Songkla, auditorium Universiti Rajabhat Songkhla dan markas Pemerintahan Tentera Laut Wilayah Kedua.

Anggota tentera, pasukan penyelamat dan sukarelawan turut dikerahkan bagi membantu penduduk yang terperangkap, terutama kanak-kanak, warga emas dan golongan uzur.

Walaupun terusan utama R.1 masih mengalirkan air ke laut, jumlah hujan dan limpahan dari kawasan hulu menyebabkan sistem saliran tidak mampu menampung kapasiti.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) melaporkan aliran dari lembangan Sungai U-Tapao terus memasuki pusat bandar Hat Yai.

Paras air dijangka meningkat antara 1.25 hingga 1.45 meter menjelang pukul 6 pagi esok.

Penduduk di kawasan terjejas diminta berpindah segera dan mematuhi arahan pihak berkuasa. Untuk amaran pantas, DDPM bersama AIS, True dan NT telah mengeluarkan amaran Cell Broadcast kepada semua pengguna telefon di Hat Yai.

Bantuan kecemasan boleh dihubungi melalui LINE DDPM 1784 (ID: @1784DDPM) atau talian hotline 24 jam 1784.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN