HAT YAI: Pelancong Malaysia yang terkandas akibat banjir di daerah Hat Yai mula meninggalkan hotel secara berperingkat, sekali gus membolehkan mereka pulang ke tanah air menggunakan kereta persendirian yang diletakkan di kawasan tinggi.
Ramai antara mereka membuat semakan laluan terlebih dahulu, khususnya melalui pusat pemeriksaan sempadan Padang Besar di Sadao, bagi memastikan perjalanan pulang selamat.
Keadaan menginap di hotel sejak beberapa hari lalu menjadi semakin sukar apabila kebanyakan premis kekurangan makanan serta air minuman menyebabkan pelancong terpaksa keluar mendapatkan bekalan di pasar atau kedai serbaneka yang kebanyakannya ditutup.
Walaupun paras air mula menurun, arus deras masih berlaku di beberapa kawasan. Banyak kenderaan yang diletakkan di tepi jalan atau di tempat letak kereta bawah tanah tenggelam sepenuhnya.
Gabenor Songkhla, Ratthasart Chidchu memaklumkan lebih 465,000 penduduk di 16 daerah terjejas akibat banjir, namun hanya 235 orang dipindahkan setakat ini.
Katanya, tiada kematian atau kecederaan dan 16 daerah diisytiharkan sebagai zon bencana awam.
Di wilayah berhampiran Satun, tujuh daerah turut diisytiharkan zon bencana kecemasan dengan La-ngu paling teruk terjejas. Banjir besar turut melanda wilayah Phatthalung, Trang, Pattani dan Yala dengan penduduk dinasihatkan berpindah ke kawasan lebih selamat.
Dalam pada itu, pasukan keselamatan dan agensi kecemasan menggerakkan semua sumber bagi meredakan keadaan di Hat Yai dengan memindahkan penduduk yang terjejas.
Anggota Tentera Darat dari Wilayah Tentera Keempat turut diarahkan memindahkan pesakit dari hospital-hospital yang terjejas dan menghantar bekalan penting kepada penduduk yang terkandas.
Pasukan perubatan mudah alih turut didirikan di pusat pemindahan untuk memberikan rawatan kecemasan, manakala polis menjalankan rondaan bagi mengelakkan kes kecurian serta memasang papan amaran di kawasan berisiko agar pengguna jalan raya tidak terkandas dalam banjir.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, melawat Hat Yai kelmarin untuk meninjau keadaan semasa serta bertemu penumpang yang terkandas di lapangan terbang sebelum menerima taklimat operasi bantuan bencana.
Jabatan meteorologi tempatan menjangkakan hujan lebih lebat di selatan, termasuk Songkhla, sehingga Rabu berikutan monsun yang kuat di Teluk Thailand.










