Banjir besar Asia Tenggara ragut lebih 300 nyawa - Utusan Malaysia

Banjir besar Asia Tenggara ragut lebih 300 nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDAN: Banjir besar yang melanda beberapa negara Asia Tenggara sejak beberapa hari lalu mengorbankan lebih 300 nyawa di Indonesia, Thailand dan Malaysia.

Hujan lebat musim monsun dan ribut tropika menenggelamkan kawasan luas, menyebabkan penduduk terperangkap di atas bumbung serta terputus hubungan dengan komuniti sekeliling.

Di Indonesia, pasukan penyelamat bergelut untuk sampai ke kawasan paling terjejas di Pulau Sumatera, manakala sebuah hospital di selatan Thailand terpaksa menggunakan trak berpendingin untuk menyimpan mayat selepas bilik mayat penuh.

Di Sumatera Barat, seorang penduduk, Misniati, 53, menceritakan detik cemas apabila air naik mendadak selepas pulang dari solat Subuh.

“Saya nampak jalan sudah banjir. Saya cuba lari ke rumah untuk beritahu suami, air sudah sampai paras pinggang. Sampai rumah, air sudah di paras dada,” katanya kepada AFP.

Pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya 174 maut akibat banjir dan tanah runtuh, manakala hampir 80 lagi masih hilang. Ketua Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Suharyanto, memberi amaran angka korban mungkin meningkat kerana ada kawasan yang masih tidak dapat diakses.

Di selatan Thailand, sekurang-kurangnya 145 orang terkorban, kebanyakannya di wilayah Songkhla.

Hospital Songklanagarind memaklumkan bilik mayat sudah penuh dan memerlukan lebih banyak trak berpendingin.

Penduduk Hat Yai pula terpaksa menunggu di atas bumbung untuk diselamatkan dengan bot, dengan laporan air naik sehingga siling tingkat dua. Kemarahan awam terhadap kelemahan respons banjir semakin memuncak, mengakibatkan dua pegawai tempatan digantung tugas.

Di Malaysia, dua kematian dilaporkan akibat banjir yang menenggelamkan kawasan di Perlis selepas hujan berterusan.

Penduduk terpaksa dipindahkan bagi mengelak risiko lebih besar, manakala pihak berkuasa giat memantau paras air dan memberi bantuan kecemasan.

Musim monsun tahunan yang biasanya berlaku antara Jun dan September kali ini diperburuk oleh ribut tropika.

Pakar iklim memberi amaran corak ribut semakin berubah akibat pemanasan global, menyebabkan hujan lebih lebat, banjir kilat dan angin kencang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN