CANBERRA: Cadangan Australia memperkenalkan sekatan baharu terhadap rejim Taliban di Afghanistan disifatkan sebagai langkah penting ke arah mempertanggungjawabkan kepimpinan di Kabul, menurut kumpulan Human Rights Watch (HRW).
Pindaan terhadap peraturan sekatan autonomi Australia itu bakal membolehkan Canberra bagi menyasarkan pegawai-pegawai Taliban secara lebih langsung, termasuk melalui larangan perjalanan.
Menurut HRW, perubahan terhadap peraturan sekatan autonomi itu akan memberi kesan kepada individu yang terlibat dalam penindasan terhadap wanita, minoriti serta mereka yang menjejaskan tadbir urus baik dan kedaulatan undang-undang di Afghanistan.
“Adalah penting bagi kerajaan Australia mengambil tindakan terhadap pemimpin Taliban yang bertanggungjawab dalam serangan terhadap hak wanita dan kanak-kanak perempuan, serta pelanggaran hak asasi manusia yang lain,” kata Pengarah HRW Australia, Daniela Gavshon.
Katanya, pindaan tersebut akan membolehkan Australia bergabung dengan negara-negara lain yang telah mengambil langkah menentang penindasan sistematik oleh Taliban.
Taliban menerima kecaman antarabangsa sejak kembali berkuasa pada Ogos 2021 berikutan tindakan menindas wanita, kaum minoriti dan penentang politik.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran Taliban sedang mengamalkan ‘apartheid jantina’ dengan mengenakan sekatan ketat terhadap hak wanita untuk bekerja, mendapatkan pendidikan dan bergerak bebas.
HRW menegaskan penganiayaan berasaskan jantina diiktiraf sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.
“Kerajaan Australia perlu menggunakan sekatan bersasar sebagai alat penting dasar luar untuk mendesak pertanggungjawaban terhadap pelanggaran serius hak asasi manusia,” kata Gavshon lagi.
HRW turut menegaskan Afghanistan kini menjadi semakin tidak selamat kepada pelbagai golongan sejak kebangkitan semula Taliban, dengan amalan penapisan maklumat menjadi norma baharu serta penyeksaan terhadap wartawan dan aktivis semakin berleluasa. -AGENSI










