Asia Tenggara ‘tenggelam’

Asia Tenggara ‘tenggelam’

GAMBARAN udara menunjukkan ratusan kenderaan diparkir di tengah jalan raya bagi mengelak banjir di Hat Yai di wilayah Songkhla, Thailand. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Hujan lebat berterusan menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh di seluruh Asia Tenggara terutamanya di Malaysia, Vietnam, Thailand, Indonesia dan Filipina ketika pihak berkuasa berusaha menggerakkan operasi bantuan.

Bencana alam yang melanda rantau ini berlaku selepas beberapa taufan melanda Asia Teng­gara sejak September lalu, menyaksikan banyak korban ji­wa terutamanya di Filipina dan Vietnam.

Walaupun banjir monsun me­rupakan fenomena tahunan, saintis menyatakan perubahan iklim yang didorong manusia menjadikan cuaca ekstrem semakin kerap dan merosakkan.

Di Vietnam, seorang lagi mang­sa disahkan maut pada Isnin, menjadikan jumlah korban di negara itu meningkat kepada 91 orang dalam tempoh seming­gu dengan lima lagi kematian baharu dilaporkan di Thailand.

Agensi cuaca Vietnam memberi amaran hujan lebat yang melanda sejak Oktober mungkin kembali minggu ini, meningkatkan risiko di beberapa kawasan. Hampir separuh daripada 100 juta penduduk Vietnam tinggal di kawasan mudah banjir.

ORANG ramai meredah air banjir di Nha Trang di wilayah pesisir Khanh Hoa, Vietnam. – AFP

Wilayah tinggi Dak Lak me­re­kodkan jumlah korban pa­ling besar dengan sekurang-ku­rangnya 63 orang lemas.

Kematian turut direkodkan di Khanh Hoa, Lam Dong, Gia Lai, Danang, Hue dan Quang Tri, ketika wilayah tengah selatan negara itu terus dibadai banjir dan tanah runtuh sehingga semalam.

Kerugian akibat hujan berte­rusan di Vietnam dianggarkan melebihi AS$500 juta (RM2.06 bilion), dengan seluruh blok bandar ditenggelami air dan kawasan pertanian musnah.

Kerajaan menggerakkan pu­luhan ribu anggota untuk me­nyalurkan makanan, ubat-ubatan sert­a bantuan asas lain dan helikopter turut digunakan untuk menghantar bantuan ke kawa­san tanah tinggi yang terputus hubungan.

Di Thailand, banjir kilat me­landa kawasan selatan, menjejaskan hampir dua juta penduduk.

Bandar Hat Yai di Songkhla menerima 335 milimeter hujan pada Jumaat, jumlah tertinggi dalam tempoh 300 tahun dan lebih banyak hujan dijangka turun dalam masa terdekat.

Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand, banjir di 10 wilayah selatan meliputi Surat Thani, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat yang menjejaskan lebih 719,858 rumah di 92 daerah.

Pada Isnin, pihak berkuasa Songkhla mengeluarkan arahan pemindahan besar-besaran di Hat Yai selepas beberapa kawasan ditenggelami hampir tiga meter air.

Gabenornya, Rattasart Chidchu mengarahkan penduduk di kawasan rendah di Zon 3 dan Zon 4 termasuk kawasan sekitar kampus Hat Yai Universiti Prince of Songkla berpindah sebelum pukul 4 petang.

Namun arahan itu mencetuskan kritikan dalam talian, dengan ramai pengguna media sosial mempersoalkan kurangnya persiapan, terutama bagi golongan rentan seperti warga emas, kanak-kanak dan pesakit.

Ada yang mendakwa mereka terputus hubungan dan tidak menerima sebarang maklumat atau bantuan.

Pusat Penyelarasan ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana turut melaporkan banjir besar dan tanah runtuh di beberapa lokasi di Indonesia termasuk Aceh, Banten, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Lampung dan Nusa Tenggara Barat.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisik (BMKG) berkata, puncak musim hujan yang bermula sejak awal November bakal berlanjutan sehingga Februari 2026, dengan potensi beberapa lagi siri bencana banjir dan tanah runtuh dijangka berlaku sepanjang tempoh ini.

Di Filipina pula, penduduk masih bergelut untuk menjalankan kehidupan seharian selepas negara itu dibadai taufan terkuat Fung-wong dua minggu lalu yang mengorbankan 10 orang dan menyebabkan 1.4 juta penduduk dipindahkan.

Kerajaan turut mengeluarkan amaran baharu Taufan Verbena bakal membadai timur Filipina membawa hujan lebat dan angin kencang minggu ini.

Sementara itu di Malaysia, banjir terus melanda di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Selangor dan Kelantan dengan jumlah keseluruhan 17,637 mangsa terlibat dan ditempatkan di 87 pusat pemindahan sementara (PPS).

RENCAT PELANCONGAN

Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) menjangkakan perjalanan masuk dari Malaysia ke selatan Thailand dibatalkan sepenuhnya minggu ini.

TAT melaporkan lebih 4,000 pelancong Malaysia terkandas di hotel dan Lapangan Terbang Hat Yai.

Menurut Majlis Pelancongan Songkhla, banyak jalan utama termasuk Jalan Sripoovanart ditenggelami air, menjejaskan hotel, pasar dan pusat beli-belah dengan ribuan penduduk tempatan terperangkap tanpa bekalan makanan selama dua hari.

Banyak premis perniagaan di Hat Yai dijangka ditutup dua minggu dan Lapangan Terbang Hat Yai masih beroperasi dengan sebahagian pelancong Malaysia memilih pulang ke Kuala Lumpur selepas syarikat-syarikat penerbangan utama menawarkan pilihan pertukaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN