WASHINGTON: Pihak berkuasa penerbangan Amerika Syarikat (AS) mengarahkan semua model pesawat kargo yang terlibat dalam kemalangan ketika berlepas di Kentucky pada Selasa untuk menangguhkan operasinya.
Langkah ini diambil selepas sebuah pesawat Boeing MD-11 yang dikendalikan oleh UPS terbakar di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville sebelum melanggar premis perniagaan berhampiran, menyebabkan 14 orang maut.
Syarikat penghantaran AS itu sebelum ini menyatakan ia tidak akan menggunakan pesawat tersebut sehingga siasatan dijalankan dan FedEx kemudiannya mengambil langkah sama.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) kemudian mengeluarkan notis rasmi yang melarang semua pesawat MD-11 dan MD-11F daripada terbang sehingga pemeriksaan keselamatan dijalankan. Secara keseluruhan, 70 model pesawat tersebut digunakan oleh UPS, FedEx, dan Western Global Airlines.
Pegawai FAA berkata, kemalangan di Kentucky berlaku selepas enjin kiri pesawat terbakar dan terlepas daripada sayap ketika berlepas.
Pesawat itu membawa 144,000 liter bahan api ketika berlepas untuk penerbangan ke Hawaii, yang menyumbang kepada kebakaran besar selepas kemalangan.
Sejumlah 14 orang maut dalam kemalangan dan kebakaran berikutnya, termasuk seorang yang dimasukkan ke hospital, menurut Datuk Bandar Louisville, Craig Greenberg.
Beliau berkata, bilangan mangsa kini selari dengan jumlah orang yang dilaporkan hilang, menunjukkan pihak berkuasa tidak menjangkakan jumlah kematian akan meningkat lagi.
Boeing menyambut baik arahan itu dan menasihati tiga syarikat yang menggunakan model terbabit untuk menghentikan operasi sebagai langkah berjaga-jaga.
Masih tidak jelas sama ada arahan ini akan menjejaskan perkhidmatan penghantaran di AS, dengan tiada laporan gangguan setakat ini daripada ketiga-tiga syarikat.
Data daripada laman web trafik udara FlightRadar24 menunjukkan 55 pesawat MD-11 digunakan sepanjang minggu lepas.
“Pelan kontingensi disediakan untuk menyesuaikan rangkaian udara dan darat kami bagi memastikan penghantaran kritikal seperti farmaseutikal penyelamat nyawa, peralatan perubatan dan produk lain dapat diteruskan tanpa gangguan,” kata FedEx dalam satu kenyataan.
UPS juga berkata, pelan kontingensi sudah disediakan untuk mengekalkan perkhidmatan mereka.
“Tiada apa yang lebih penting bagi kami selain keselamatan pekerja dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.
Penerbangan penumpang terakhir menggunakan pesawat MD-11 adalah pada 2014, dengan model ini kini digunakan secara eksklusif sebagai pesawat kargo.
Model pesawat yang terlibat dalam kemalangan ialah MD-11F dengan tiga enjin, yang mula beroperasi 34 tahun lalu bersama Thai Airways sebagai pesawat penumpang, tetapi dipindahkan ke UPS pada 2006.
MD-11 asalnya dihasilkan oleh McDonnell Douglas sebelum syarikat itu bergabung dengan Boeing pada 1997. Pengeluaran pesawat MD-11 berakhir pada 2000.-AGENSI










