WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan kematian Sarah Beckstrom, anggota Pengawal Kebangsaan berusia 20 tahun, yang ditembak berhampiran Rumah Putih sehari sebelumnya.
Susulan itu, kerajaan AS akan menyemak semula status penduduk tetap (Green Card) bagi imigran dari 19 negara, termasuk Afghanistan.
Trump memuji Beckstrom sebagai anggota muda yang berani dan mengaitkan serangan itu dengan kehadiran ratusan anggota Pengawal Kebangsan di Washington sebagai sebahagian daripada tindakan tegasnya terhadap jenayah.
“Jika mereka tidak efektif, kejadian ini mungkin tidak dapat dicegah,” katanya dalam panggilan video sempena Hari Kesyukuran.
Penembak dipercayai Rahmanullah Lakanwal, warga Afghanistan berusia 29 tahun yang pernah berkhidmat dengan tentera AS di Afghanistan.
FBI melancarkan siasatan antiterrorisme antarabangsa, manakala Peguam AS Washington, Jeanine Pirro, menyifatkan serangan itu sebagai “berani dan terancang” menggunakan pistol revolver .357 Smith & Wesson terhadap anggota pengawal yang sedang bertugas.
Anggota Pengawal Kebangsaan lain yang cedera, Andrew Wolfe, 24, masih “berjuang untuk hidupnya”.
Lakanwal kini didakwa atas tiga pertuduhan cubaan membunuh, yang akan dinaikkan kepada pembunuhan tahap pertama jika ada anggota pengawal meninggal dunia. Pihak berkuasa masih menyiasat motif sebenar serangan itu.
Lakanwal dibawa ke AS melalui program pemindahan Afghan yang bekerjasama dengan CIA semasa pengunduran tentera AS dari Afghanistan.










