AS jual sistem peluru berpandu bernilai AS$700 juta kepada Taiwan - Utusan Malaysia

AS jual sistem peluru berpandu bernilai AS$700 juta kepada Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Amerika Syarikat (AS) mengesahkan penjualan sistem peluru berpandu pertahanan udara canggih bernilai hampir AS$700 juta (RM2.9 bilion) kepada Taiwan.

Ia adalah pakej senjata kedua dalam tempoh seminggu yang menjadikan jumlah keseluruhan mencecah AS$1 bilion (RM4.16 bilion) sekali gus menegaskan komitmen Washington terhadap Taipei.

Sistem yang dibangunkan oleh RTX itu dikenali sebagai National Advanced Surface-to-Air Missile System (NASAMS), dan telah terbukti keberkesanannya di medan perang Ukraine.

Di rantau Indo-Pasifik, hanya Australia dan Indonesia mengoperasikan sistem berkenaan pada masa ini. Tahun lalu, Washington turut memaklumkan bahawa Taiwan akan menerima tiga unit sebagai sebahagian daripada jualan senjata bernilai AS$2 bilion (RM8.32 bilion).

Pentagon berkata, kontrak harga tetap telah diberikan kepada syarikat tersebut bagi pembekalan NASAMS, dengan kerja dijangka siap pada Februari 2031.

Digunakan secara meluas dalam mempertahankan Ukraine daripada serangan Russia, NASAMS memberikan peningkatan ketara kepada keupayaan pertahanan udara Taiwan ketika permintaan global terhadap sistem itu meningkat.

“Komitmen AS terhadap Taiwan tetap kukuh hari ini dan akan terus kukuh pada masa hadapan,” kata Raymond Greene, duta besar de facto AS di Taipei, dalam satu acara anjuran Dewan Perniagaan Amerika di Taiwan pada Selasa.

“Kami menzahirkan komitmen ini melalui tindakan, khususnya dalam menyokong usaha Taiwan mencapai keamanan melalui kekuatan. Perkara ini jelas melalui kerjasama pertahanan industri yang semakin berkembang,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN