AS gantung permohonan imigresen warga Afghanistan selepas tembakan di Rumah Putih

AS gantung permohonan imigresen warga Afghanistan selepas tembakan di Rumah Putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menggantung semua permohonan imigresen daripada warga Afghanistan selepas seorang lelaki dari negara itu dikenal pasti sebagai suspek dalam kejadian tembakan terhadap dua anggota Pengawal Kebangsaan berhampiran Rumah Putih.

Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen Amerika Syarikat (USCIS) memaklumkan keputusan itu dibuat sementara menunggu semakan terhadap protokol keselamatan dan tapisan.

Suspek dalam kejadian tembakan yang menyebabkan dua anggota Pengawal Kebangsaan cedera parah, dikatakan tiba di AS dari Afghanistan pada September 2021.

Presiden, Donald Trump menyifatkan serangan itu sebagai tindakan keganasan, menegaskan  beliau akan mengambil langkah-langkah untuk menyingkirkan warga asing daripada mana-mana negara yang tidak sepatutnya berada di AS.

Trump berkata, selepas kejadian tembakan itu, AS kini perlu menilai semula setiap seorang warga asing yang memasuki negara dari Afghanistan di bawah pentadbiran bekas Presiden, Joe Biden.

Puluhan ribu rakyat Afghanistan memasuki AS di bawah perlindungan imigresen khas selepas pengunduran tentera AS dari negara itu yang penuh kekacauan pada tahun 2021, ketika pentadbiran Biden.

Trump sebelum ini mengenakan larangan perjalanan ke atas warga Afghanistan bersama 11 negara lain awal tahun ini.

Warga Afghanistan yang memiliki Visa Imigresen Khas kerana bekerja secara langsung dengan tentera AS sebelum Taliban kembali menguasai negara itu pada 2021, merupakan antara mereka yang menerima beberapa pengecualian kepada larangan menyeluruh tersebut.

Trump juga turut menamatkan satu program yang memberikan perlindungan daripada pengusiran kepada ribuan rakyat Afghanistan.

Program status perlindungan sementara itu membolehkan para migran mendapatkan permit kerja sekiranya kerajaan AS menganggap keadaan di negara asal mereka tidak selamat untuk pulang akibat peperangan.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) menamakan suspek dalam satu kenyataan media sebagai Rahmanullah Lakamal, seorang warga asing penjenayah dari Afghanistan.

Seorang pegawai memberitahu CBS, suspek memohon suaka pada tahun 2024 dan permohonannya diluluskan pada awal tahun ini.

Lelaki berusia 29 tahun itu dipercayai memasuki AS di bawah program yang dikenali sebagai Operation Allies Welcome.

NBC melaporkan, Lakamal datang ke AS pada September 2021 selepas berkhidmat dalam tentera Afghanistan selama 10 tahun bagi menyokong pasukan Khas AS.

Fox News, memetik kenyataan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Ratcliffe melaporkan, Lakamal  pernah bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan AS, termasuk perkhidmatan perisikan.

Trump berkata, selepas kejadian tembakan itu, AS kini perlu menilai semula setiap seorang warga asing yang memasuki negara dari Afghanistan di bawah pentadbiran Biden.

Pasukan Petugas Bersama yang menyelaraskan penempatan Pengawal Kebangsaan ke ibu negara, berkata, serangan itu berlaku kira-kira pukul 2.15 petang (waktu tempatan) pada Rabu berhampiran stesen Metro Farragut Square.

Para anggota itu berada dalam rondaan berprofil tinggi berhampiran persimpangan 17th Street dan I Street, sebuah lokasi makan tengah hari yang sibuk untuk pekerja pejabat.

Menurut Penolong Ketua Polis Metropolitan, Jeff Carroll, suspek muncul dari sekitar sudut jalan dan terus melepaskan tembakan, menegaskan anggota-anggota tersebut telah diserang hendap.

Anggota Pengawal Kebangsaan lain yang berada berdekatan terdengar tembakan itu dan segera bergegas membantu menahan suspek di tempat kejadian.

Sumber penguat kuasa undang-undang memberitahu CBS, suspek ditembak sebanyak empat kali.

Beribu-ribu anggota Pengawal Kebangsaan dari seluruh AS ditempatkan di Washington DC bagi menangani apa yang disifatkan Trump sebagai kadar jenayah yang tidak terkawal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN