TRENTON: Beberapa lokasi pengundian di New Jersey ditutup sementara selepas pihak berkuasa menerima ancaman melalui emel awal pagi ketika hari Pilihan Raya Gabenor berlangsung.
Ancaman tersebut melibatkan beberapa kawasan di daerah Bergen, Essex, Mercer, Middlesex, Monmouth, Ocean dan Passaic, menurut kenyataan dikeluarkan Peguam Negara New Jersey, Matthew Platkin.
“Pegawai penguat kuasa undang-undang dihantar ke setiap lokasi yang terjeja, dan mereka bertindak pantas untuk memastikan keselamatan di pusat pengundian serta melindungi keselamatan setiap pengundi,” katanya.
Sebahagian lokasi dibuka semula, manakala pengundi di lokasi lain diarahkan ke pusat mengundi alternatif.
Platkin turut memuji tindakan pantas pihak penguat kuasa dan petugas pilihan raya, sambil menyatakan pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan agensi persekutuan dan tempatan.
“Pengundi harus terus yakin mereka boleh mengundi tanpa rasa takut atau intimidasi,” tegasnya, sambil memberi amaran negeri itu tidak akan bertolak ansur dengan sebarang cubaan mengganggu proses pilihan raya.
Sementara itu, calon utama untuk jawatan Datuk Bandar di New York City, Zohran Mamdani yang berjiran dengan New Jersey, menyifatkan ancaman itu sebagai amat membimbangkan.
“Saya rasa ini adalah gambaran terhadap serangan yang sedang berlaku terhadap demokrasi kita. Kadangkala ia jelas dan nyata seperti ancaman bom ini.
“Kita perlu memahami ini sebagai sebahagian daripada pendekatan umum pentadbiran Presiden, Donald Trump yang cuba menakut-nakutkan pengundi dengan dakwaan palsu mengenai penipuan undi, sebagai usaha menindas suara rakyat AS di seluruh negara,” katanya selepas membuang undi.-AGENSI










