Amerika Selatan dilanda gelombang demam kuning, denggi akibat perubahan iklim - Utusan Malaysia

Amerika Selatan dilanda gelombang demam kuning, denggi akibat perubahan iklim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELÉM: Peningkatan mendadak kes demam kuning dan denggi di Amerika Selatan sekali lagi menyerlahkan ancaman besar perubahan iklim terhadap kesihatan manusia, dengan penyakit itu mula menular ke kawasan beriklim sederhana seperti Eropah, menurut pakar pada Sidang Kemuncak Iklim PBB (COP30) di Belém, Brazil .

Menurut Pertubuhan Kesihatan Pan-Amerika (PAHO), sebanyak 356 kes demam kuning dan 152 kematian direkodkan di Amerika Selatan tahun ini, kebanyakannya di rantau Amazon sekaligus merupakan antara tertinggi sejak 1960, kecuali lonjakan besar pada 2017 dan 2018.

Gelombang demam kuning ini berlaku susulan tahun paling buruk buat Brazil dalam penularan denggi di mana sebelum ini pada tahun 2024, negara itu mencatat hampir 6.5 juta kes dengan kira-kira 5,000 kematian.

Tahun lalu juga menyaksikan peningkatan luar biasa kes denggi di Eropah, dengan 304 kes direkodkan, melebihi jumlah kes sepanjang 15 tahun sebelumnya.

Kedua-dua penyakit tersebut merebak melalui nyamuk spesies Aedes yang mudah membiak dalam cuaca panas dan air bertakung.

Pemanasan global yang menyebabkan suhu meningkat dan taburan hujan lebih ekstrem memburukkan keadaan, sekali gus meluaskan kawasan penyebaran nyamuk pembawa penyakit.

Peningkatan mendadak penyakit bawaan vektor itu dilapor berlaku ketika rundingan iklim PBB sedang berlangsung di Belém, bandar yang terletak berhampiran muara Sungai Amazon.

Beberapa tahun lalu, isu kesihatan kurang diberi perhatian dalam sidang iklim tahunan ini, namun pada tahun ini, PBB mengisytiharkan Khamis sebagai “Hari Kesihatan” dan memperkenalkan Pelan Tindakan Kesihatan Belém yang diterajui kerajaan Brazil bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Peningkatan suhu, banjir, kemarau dan ribut bukan sahaja meragut nyawa, malah mencetuskan penyakit, kekurangan zat makanan dan memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan.” kata Ketua Iklim PBB, Simon Stiell.

Sebanyak US$300 juta (RM1 bilion) telah dijanjikan oleh gabungan 35 badan filantropi bagi menyokong pelaksanaan pelan tersebut yang merangkumi pemantauan, perkongsian amalan terbaik dan program pembangunan kapasiti negara.

Bagaimanapun, pakar kesihatan memberi amaran tindakan lebih tegas diperlukan bagi menghadapi kesan langsung suhu ekstrem dan bencana iklim. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN