LIMA: Sekurang-kurangnya 37 orang maut manakala 24 lagi cedera apabila sebuah bas dua tingkat terhumban ke dalam gaung selepas bertembung dengan sebuah pikap di selatan Peru, awal pagi Rabu, menurut pihak berkuasa tempatan.
Tragedi ngeri itu berlaku di wilayah Arequipa, di sepanjang lebuh raya Panamericana Sur yang menghubungkan Peru dengan Chile. Ia disifatkan sebagai satu daripada nahas jalan raya paling buruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini di negara Amerika Selatan itu.
Menurut Pengurus Kesihatan Wilayah Arequipa, Walther Oporto, jumlah kematian setakat ini ialah 37 orang, manakala 24 lagi cedera, dengan beberapa mangsa dilaporkan parah dan angka korban dijangka meningkat.
Bas milik syarikat pengangkutan Llamosas itu berlepas dari bandar Chala di wilayah Caraveli pada malam Selasa menuju ke Arequipa, bandar kedua terbesar Peru. Kenderaan itu membawa lebih 60 penumpang termasuk kanak-kanak dan warga emas.
Media tempatan melaporkan, nahas berlaku apabila bas berkenaan bertembung dengan sebuah trak pikap di selekoh sebelum terjun ke dalam gaung sedalam kira-kira 200 meter dan berhenti di tebing sungai.
Jurucakap bomba, Jack Paez, berkata keadaan berbatu di lokasi kejadian menyukarkan usaha menyelamat yang melibatkan kira-kira 30 anggota polis dan bomba.
“Tragedi ini membawa kesedihan kepada banyak keluarga,” katanya kepada stesen televisyen TV Peru.
Presiden Peru, Jose Jeri, dalam satu hantaran di platform X (Twitter), menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Ketua Polis, Olger Benavides, mengesahkan pemandu trak pikap ditahan selepas didapati positif alkohol, manakala pemandu bas disahkan maut.
Kemalangan maut sering berlaku di Peru akibat pemanduan laju, pengaruh alkohol, keadaan jalan yang tidak baik, kekurangan papan tanda serta penguatkuasaan undang-undang yang lemah.











