2.5 juta hilang akses ubat pencegah penularan HIV akibat pemotongan dana Trump

2.5 juta hilang akses ubat pencegah penularan HIV akibat pemotongan dana Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pemotongan dana antarabangsa yang dilaksanakan sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kembali ke Rumah Putih didakwa menyebabkan sejumlah kematian tambahan akibat AIDS serta mengakibatkan 2.5 juta individu hilang akses kepada ubat pencegah penularan HIV.

Dalam laporan yang dikeluarkan semalam, Agensi PBB untuk memerangi AIDS, (UNAID) menyatakan, kekurangan dana berterusan memberi kesan mendalam dan berpanjangan terhadap kesihatan serta kesejahteraan jutaan penduduk di seluruh dunia.

Menurut laporan itu, rakan komuniti UNAIDS melaporkan kematian dalam kalangan pesakit HIV berikutan penutupan klinik dan penyediaan rawatan di beberapa negara.

Bagaimanapun angka sebenar kematian tambahan masih belum dapat ditentukan kerana proses pengumpulan data masih berjalan.

UNAIDS berkata, respons global terhadap AIDS memasuki mod krisis selepas AS, penyumbang terbesar yang merangkumi 75 peratus pembiayaan HIV antarabangsa menghentikan semua dana berkaitan HIV buat sementara waktu pada awal tahun ini.

Ketika diminta mengulas laporan tersebut, Rumah Putih menafikannya sebagai tidak benar sama sekali dengan menyatakan Trump memiliki jiwa kemanusiaan.

“Pentadbiran Trump memastikan semua program yang dibiayai pembayar cukai AS selaras dengan kepentingan negara, sebagaimana mandat rakyat memilih beliau,” kata jurucakapnya, Anna Kelly.

Walaupun sebahagian program HIV disambung semula melalui dana PEPFAR, iaitu Pelan Kecemasan Presiden bagi Bantuan AIDS, namun pembiayaan keseluruhan terus merosot, sekali gus menggugat sasaran 2030 untuk menamatkan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam.

Pengarah Eksekutif UNAIDS, Winnie Byanyima berkata, agensi itu sedang bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 30 negara bagi meningkatkan pembiayaan domestik supaya tidak bergantung kepada penderma antarabangsa.

Namun beliau mengakui jurang pembiayaan tidak dapat ditutup segera dan cabaran besar masih wujud.

UNAIDS menganggarkan 40.8 juta orang kini hidup dengan HIV, dengan 1.3 juta jangkitan baharu direkodkan pada 2024.

Antara 2010 dan 2024, jumlah kematian berkaitan AIDS menurun sebanyak 54 peratus kepada 630,000 kes, manakala jangkitan baharu menurun 40 peratus namun laporan itu menyebut kemajuan tersebut kini terancam berikutan pemotongan dana yang memusnahkan perkhidmatan pencegahan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN