WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump menetapkan beberapa syarat baharu kepada universiti di Amerika Syarikat (AS) bagi membolehkan mereka menikmati akses keutamaan terhadap dana persekutuan, menurut Wall Street Journal pada Rabu.
Memetik dokumen 10 perkara yang dihantar kepada sembilan universiti terpilih, laporan itu menyebut bahawa institusi berkenaan diminta menandatangani satu perjanjian yang merangkumi pelbagai syarat kontroversi.
Antara tuntutan yang disenaraikan termasuk larangan penggunaan faktor kaum atau jantina dalam pengambilan kakitangan dan kemasukan pelajar, pembekuan yuran pengajian selama lima tahun, mengehadkan kemasukan pelajar antarabangsa peringkat sarjana muda kepada 15 peratus, mewajibkan semua pemohon menduduki peperiksaan SAT atau setara serta menangani isu inflasi gred.
Setakat ini, Rumah Putih dan Jabatan Pendidikan AS masih belum memberikan sebarang komen.
Sejak memegang jawatan, Trump kerap mengancam untuk memotong dana persekutuan kepada universiti atas pelbagai isu termasuk bantahan pro-Palestin terhadap perang Israel di Gaza, dasar transgender, inisiatif iklim dan program kepelbagaian, kesaksamaan serta keterangkuman (DEI).
Pengkritik mendakwa langkah pentadbiran Trump itu menjejaskan kebebasan akademik dan kebebasan bersuara, dengan tujuan menjadikan universiti sehaluan dengan agenda politik beliau. Trump sebelum ini menuduh universiti di AS sebagai ‘pembawa nilai anti-Amerika’.
Surat rasmi memohon persetujuan telah dihantar pada Rabu kepada sembilan institusi ternama termasuk Vanderbilt University, Dartmouth College, University of Pennsylvania, University of Southern California, Massachusetts Institute of Technology (MIT), University of Texas, University of Arizona, Brown University dan University of Virginia.
Berdasarkan surat itu, universiti yang menandatangani akan menerima pelbagai manfaat positif termasuk geran persekutuan yang besar dan bermakna.
May Mailman, penasihat kanan projek khas di Rumah Putih memberitahu Wall Street Journal bahawa pentadbiran Trump berharap institusi berkenaan melihat syarat itu sebagai langkah yang munasabah. -REUTERS










