WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa memberi amaran sebahagian kakitangan kerajaan yang diarahkan bercuti semasa penutupan kerajaan (shutdown) mungkin tidak akan menerima bayaran balik gaji tertunggak sekiranya beliau merasakan mereka “tidak layak” untuk dibayar.
Kenyataan itu dibuat ketika Trump ditanya oleh wartawan berkenaan satu draf memo dari Rumah Putih yang mencadangkan seramai 750,000 kakitangan yang dijangka dicutikan (furloughed) tidak dijamin akan menerima bayaran tertunggak apabila kembali bekerja nanti.
“Ia bergantung kepada siapa yang kita maksudkan. Saya boleh katakan ini, Demokrat telah meletakkan ramai orang dalam keadaan bahaya dan risiko yang besar,” katanya.
Laporan media tempatan menyifatkan memo tersebut sebagai satu lagi serangan dari Rumah Putih bagi menekan Demokrat di Senat agar menyokong resolusi Republikan untuk membuka semula kerajaan yang kini ditutup masuk hari ketujuh.
Penutupan kerajaan bermula minggu lalu apabila Demokrat menolak perjanjian dana sementara, sebagai tekanan agar subsidi kesihatan yang bakal tamat tempoh dilanjutkan. Akibatnya, pelbagai agensi kerajaan ‘tidak penting’ mula ditutup.
Trump sebelum ini menandatangani undang-undang “Government Employee Fair Treatment Act (GEFTA)” selepas shutdown 2019, yang menjamin semua kakitangan persekutuan dibayar semula gaji mereka.
Namun, memo baharu dari Rumah Putih menegaskan versi GEFTA yang dipinda memerlukan kelulusan khas dari Kongres untuk membayar semula gaji kakitangan dan pembayaran itu bukanlah automatik.
“Buat sebahagian besar, kita akan jaga kakitangan kita. Tapi ada juga yang tak layak dijaga seperti orang lain. Kita akan uruskan mereka dengan cara lain,” kata Trump dalam satu majlis di Pejabat Oval bersama Perdana Menteri Kanada, Mark Carney. “T
Kenyataan Trump yang mengugut untuk tidak membayar semula gaji dianggap sebagai satu langkah peningkatan tekanan yang ketara terutama setelah beliau sebelum ini turut mengancam jawatan ribuan pekerja jika Demokrat tidak berundur.










