WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi kata dua kepada Hamas agar menerima pelan damai dan pembinaan semula Gaza dalam tempoh tiga hingga empat hari, sambil memberi amaran kumpulan itu akan membayar di neraka sekiranya menolak cadangan tersebut.
Pelan itu diumumkan bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington, yang bertujuan menamatkan peperangan dua tahun di Gaza.
Sekurang-kurangnya 31 rakyat Palestin terkorban pada Selasa akibat serangan terbaharu rejim itu, menurut hospital tempatan.
Trump menegaskan hanya satu tandatangan diperlukan daripada Hamas untuk menjayakan perjanjian itu, namun mengingatkan kumpulan berkenaan akan menerima akibat buruk jika enggan.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh kepada Israel untuk meneruskan serangan sekiranya Hamas menolak atau mungkir perjanjian.
Netanyahu dalam sidang akhbar berkenaan menegaskan, Israel akan menyelesaikan tugas sekiranya Hamas menolak pelan berkenaan.
Pelan 20 perkara yang diumumkan Trump dan Netanyahu itu antaranya ialah Hamas diwajibkan melucutkan senjata dan dihalang daripada memegang sebarang peranan politik di wilayah tersebut, Gaza akan ditadbir sebuah pihak berkuasa peralihan teknokrat yang dipengerusikan Trump sendiri, 48 tebusan mesti dibebaskan oleh kumpulan tersebut dalam tempoh 72 jam selepas gencatan senjata bermula, Tentera Israel akan berundur secara berperingkat ke zon penampan di sempadan, sementara bantuan kemanusiaan dipertingkatkan dan Tel Aviv turut dikehendaki membebaskan hampir 2,000 tahanan Palestin, termasuk mereka yang dipenjara seumur hidup.
Netanyahu dalam kenyataan susulan di saluran Telegram menegaskan tentera Israel akan terus berada di kebanyakan kawasan Gaza, dan beliau tidak bersetuju dengan penubuhan negara Palestin.
Beberapa sumber dalaman Hamas menyifatkan syarat yang dikemukakan sebagai memihak sepenuhnya kepada Israel dan mustahil dipenuhi manakala faksi lain termasuk Jihad Islam menolak pelan itu dengan alasan ia bakal menggalakkan lebih banyak pencerobohan rejim tersebut.
Sebaliknya, pihak berkuasa Palestin di Tebing Barat menyambut baik usaha ikhlas Trump untuk menamatkan peperangan manakala negara-negara Arab seperti Turki, Mesir, Qatar, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Indonesia dan Pakistan mengeluarkan kenyataan bersama menyokong pelan tersebut serta sedia bekerjasama dengan AS.
Jerman, Perancis dan Rusia turut menyatakan sokongan, manakala Israel menyifatkan pelan berkenaan sebagai memenuhi banyak tuntutan mereka, meskipun terdapat bantahan daripada menteri sayap kanan yang mahu serangan diteruskan sehingga mencapai kemenangan mutlak.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan seramai 66,055 rakyat Palestin terbunuh sejak 7 Oktober 2023, manakala lebih 160,000 lagi cedera.
Jumlah kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat meningkat kepada 453 orang, termasuk 150 kanak-kanak, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan beberapa kawasan Gaza kini dilanda kebuluran.










