Tolak rundingan perdagangan dengan Israel, Menteri Ekonomi Ireland Utara berdepan tindakan undang-undang - Utusan Malaysia

Tolak rundingan perdagangan dengan Israel, Menteri Ekonomi Ireland Utara berdepan tindakan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Menteri Ekonomi Ireland Utara, Caoimhe Archibald, berdepan cabaran undang-undang susulan keputusannya mengecualikan wilayah itu daripada rundingan perdagangan antara United Kingdom (UK) dan Israel, serta arahannya agar pegawai tidak membantu syarikat yang membekalkan senjata kepada negara tersebut.

Menurut laporan The Independent pada Sabtu, surat protokol pratindakan sudah dihantar oleh kumpulan pemikir pro-Union, Unionist Voice Policy Studies (UVPS), yang mendakwa tindakan menteri dari parti Sinn Féin itu melampaui kuasa yang dimilikinya memandangkan dasar perdagangan antarabangsa bukan bidang kuasa kerajaan tempatan (devolved government).

Archibald membuat pengumuman tersebut dalam satu kenyataan bertulis kepada Perhimpunan (Assembly) pada Khamis lalu, dengan menyatakan agensi pelaburan kerajaan, Invest NI, telah mengesahkan ia “tidak menyokong projek yang menghasilkan senjata atau komponennya untuk dibekalkan kepada Israel.”

Beliau turut memperkenalkan beberapa langkah baharu bertujuan “menghapuskan sebarang risiko dana awam digunakan bagi menyokong pembuatan senjata atau komponen yang digunakan untuk jenayah genosid.”

Langkah tersebut termasuk komitmen untuk tidak melibatkan jabatan beliau dalam rundingan perdagangan kerajaan UK dengan Israel “selagi negara itu terus menduduki wilayah Palestin secara haram dan melaksanakan dasar apartheid.”

Tindakan Archibald telah mencetuskan bantahan daripada beberapa pihak, termasuk Parti Kesatuan Demokratik (DUP) yang menuntut agar isu itu dirujuk kepada Eksekutif Stormont secara kolektif. Pemimpin Parti Tradisionalis Kesatuan (TUV), Jim Allister, turut menggesa perbahasan tergempar di Parlimen Westminster.

Menurut peraturan perkongsian kuasa di Ireland Utara, isu yang “signifikan dan kontroversial” perlu dirujuk kepada Eksekutif untuk diputuskan secara bersama.

Pengarah UVPS, Jamie Bryson, dalam satu kenyataan berkata: “Tindakan Menteri Ekonomi untuk mendakwa bahawa Ireland Utara tidak terlibat dalam rundingan perdagangan kerajaan UK dengan Israel adalah jelas bertentangan dengan undang-undang. Isu ini signifikan dan kontroversial, dan sepatutnya dibincangkan oleh Eksekutif. Beliau bertindak dalam bidang kuasa yang tidak terletak di bawah kerajaan tempatan.”

Bryson juga mendakwa arahan Archibald kepada Invest NI “merupakan diskriminasi nyata berdasarkan pendirian politik terhadap mana-mana perniagaan yang menyokong Israel.”

UVPS menyatakan mereka secara konsisten mencabar tindakan tidak sah oleh menteri-menteri Eksekutif, dan menyifatkan keputusan Archibald sebagai “contoh terbaru menteri Sinn Féin bertindak melampaui kuasa sah mereka.”

Jabatan Ekonomi Ireland Utara telah dihubungi oleh The Independent untuk mendapatkan maklum balas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×