RABAT: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh ketika tunjuk perasaan besar-besaran di Maghribi yang membantah dakwaan rasuah serta penyelewengan perbelanjaan awam, tatkala negara itu bersiap menghadapi malam keenam gelombang demonstrasi.
Kementerian Dalam Negeri Maghribi memaklumkan, ketiga-tiga mangsa ditembak mati oleh pasukan keselamatan di bandar kecil Leqliaa, berhampiran Agadir, selepas didakwa cuba merampas senjata polis bagaimanapun, dakwaan itu gagal disahkan saksi di lokasi kejadian.
Protes yang semakin tegang sejak minggu lalu telah mencederakan ratusan orang, manakala Persatuan Hak Asasi Manusia Maghribi melaporkan lebih 1,000 orang telah ditahan setakat ini.
Perdana Menteri Aziz Akhannouch dalam reaksinya semalam menyatakan kesediaan kerajaan untuk berdialog bagi menamatkan krisis.
Gerakan itu digerakkan oleh kumpulan belia tanpa identiti jelas yang menamakan diri mereka “GenZ 212”, menggunakan platform seperti TikTok, Instagram serta aplikasi permainan Discord.
Mereka membantah projek pembinaan stadium baharu menjelang Piala Dunia 2030, sedangkan sekolah dan hospital di negara itu kekal daif serta kekurangan dana.
Kementerian Dalam Negeri mendakwa beratus-ratus kenderaan, bank, kedai serta bangunan awam rosak dalam kekecohan yang merebak ke 23 wilayah negara itu.
Bagaimanapun, kumpulan GenZ 212 menegaskan mereka menolak keganasan dan hanya mahu meneruskan bantahan secara aman.
Dalam kenyataan terbaharu, kumpulan itu mengumumkan protes baharu akan diadakan dengan menegaskan: “Hormati sifat aman gerakan ini.”
Gelombang terbaru ini sekali gus mencuri perhatian menjelang penganjuran Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) hujung tahun ini serta pilihan raya Parlimen Maghribi pada 2026.
Pemerhati menilai protes kali ini antara yang paling ganas sejak 2016 dan 2017 apabila pertembungan besar berlaku antara penduduk Rif di utara dengan pasukan keselamatan. -AGENSI










