Tiga saintis menang Hadiah Nobel Perubatan 2025 - Utusan Malaysia

Tiga saintis menang Hadiah Nobel Perubatan 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STOCKHOLM: Tiga saintis, dua dari Amerika Syarikat (AS) dan seorang dari Jepun diumumkan sebagai penerima Hadiah Nobel Fisiologi atau Perubatan 2025 bagi penemuan penting mereka mengenai toleransi imun periferi yang membuka laluan baharu kepada rawatan penyakit autoimun dan kanser.

Ketiga-tiga tokoh itu ialah Mary Brunkow, Fred Ramsdell dan Shimon Sakaguchi dari Universiti Osaka, Jepun.

Menurut Institut Karolinska di Sweden yang menganjurkan anugerah berprestij itu, penemuan mereka membantu menjelaskan bagaimana sistem imun tubuh manusia mampu menyerang mikroorganisma berbahaya tanpa mencederakan dirinya sendiri.

“Penemuan ini berkait rapat dengan cara tubuh kita mengekang sistem imun agar dapat melawan pelbagai mikroba tanpa menyebabkan penyakit autoimun,” kata Profesor Marie Wahren-Herlenius, pakar reumatologi di institut berkenaan.

Ketiga-tiga penerima akan berkongsi hadiah wang tunai sebanyak 11 juta kronor Sweden (RM4.9 juta) serta pingat emas yang akan disampaikan oleh Raja Sweden pada majlis rasmi Disember ini.

Menurut kenyataan penganjur, penemuan mereka mengenai sel T pengawal (regulatory T-cells) telah membuka bidang penyelidikan baharu dan menjadi asas kepada pembangunan rawatan moden bagi penyakit kanser serta gangguan autoimun.

“Sel ini berfungsi seperti pengawal keselamatan sistem imun, memastikan sel imun lain tidak menyerang tubuh sendiri,” jelas kenyataan itu.

Ramsdell kini berkhidmat sebagai penasihat saintifik di Sonoma Biotherapeutics di San Francisco, manakala Brunkow ialah pengurus kanan program di Institute for Systems Biology di Seattle.

Sakaguchi pula, yang dihubungi oleh pihak Nobel sejurus selepas pengumuman dibuat, berkata beliau berasa amat terharu dan menganggap penghormatan itu sebagai pengiktirafan luar biasa.

Hadiah Nobel Perubatan merupakan anugerah pertama yang membuka musim penganugerahan Nobel setiap tahun, diikuti kategori fizik, kimia, sastera, keamanan dan ekonomi.

Hadiah berprestij itu diasaskan melalui wasiat pencipta dinamit, Alfred Nobel, pada tahun 1895 dan mula dianugerahkan sejak 1901 bagi mengiktiraf sumbangan luar biasa kepada kemanusiaan dalam bidang sains, kesusasteraan dan keamanan dunia.

Tahun lalu, Hadiah Nobel Perubatan diberikan kepada dua saintis AS, Victor Ambros dan Gary Ruvkun, atas penemuan mereka mengenai mikroRNA yang menjelaskan bagaimana sel membentuk dan berfungsi.

Majlis penyampaian anugerah akan diadakan pada 10 Disember, sempena ulang tahun kematian Alfred Nobel, dalam satu istiadat penuh tradisi diraja di Stockholm. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×