Terowong bawah tanah Israel dibimbangi jejas struktur Al-Aqsa - Utusan Malaysia

Terowong bawah tanah Israel dibimbangi jejas struktur Al-Aqsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Aktiviti penggalian terowong berterusan oleh Israel berhampiran Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki menimbulkan kebimbangan mengenai motif politik serta keselamatan struktur tapak suci itu, lapor Anadolu.

Rakaman video pada 29 September menunjukkan terowong yang digambarkan sebagai projek arkeologi, namun dikritik sebagai usaha Israel memperkukuh tuntutan sejarahnya ke atas Baitulmuqaddis. Tindakan tersebut didakwa melanggar undang-undang antarabangsa serta perjanjian status quo.

Perasmian terowong ‘Pilgrims Road’ oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu baru-baru ini hanyalah salah satu daripada beberapa projek seumpamanya di kawasan berkenaan.

Aktiviti itu semakin rancak di tengah perang di Gaza dan peningkatan lawatan pegawai Israel ke kawasan perkarangan masjid.

Tindakan provokatif seperti ahli parlimen sayap kanan mengibarkan bendera Israel di dalam Al-Aqsa, serta seorang menteri menyeru pembinaan kuil Yahudi di tapaknya, menambahkan kebimbangan bahawa penggalian tersebut mungkin bertujuan melemahkan masjid sama ada secara langsung atau melalui kerosakan struktur.

Ogos lalu, Pentadbiran Gabenor Baitulmuqaddis Palestin menegaskan bahawa Israel sedang menjalankan penggalian haram di bawah Masjid Al-Aqsa dan memusnahkan artifak Islam.

Dalam kenyataannya, pihak berkuasa itu menuduh Israel sengaja memusnahkan artifak Islam dari era Umaiyah yang menjadi bukti hidup dan saksi sahih hak pemilikan umat Islam terhadap tapak tersebut.

Masjid Al-Aqsa merupakan tapak ketiga paling suci bagi umat Islam. Bagi penganut Yahudi, kawasan itu dikenali sebagai Temple Mount yang mereka dakwa pernah menempatkan dua kuil purba.

Israel menduduki Baitulmuqaddis Timur, lokasi Al-Aqsa sejak Perang Arab-Israel 1967 dan kemudian mengisytiharkan penjajahan keseluruhan bandar itu pada 1980, langkah yang tidak pernah diiktiraf masyarakat antarabangsa. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×