Tentera Perancis tahan kapal tangki disyaki terbabit insiden dron di Denmark - Utusan Malaysia

Tentera Perancis tahan kapal tangki disyaki terbabit insiden dron di Denmark

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Tentera Laut Perancis menahan sebuah kapal tangki minyak, Boracay, yang disenaraikan sebagai sebahagian daripada armada bayangan Russia dan disyaki menjadi pelancar dron misteri sehingga memaksa penutupan lapangan terbang di Denmark pada minggu lalu.

Pendakwa raya Brest, Stéphane Kellenberger berkata dua kru kapal yang mendakwa sebagai kapten dan pembantunya telah ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen kewarganegaraan kapal serta enggan memberi kerjasama.

Kapal tangki berdaftar di Benin itu sebelum ini dikenali sebagai Pushpa dan dikesan berlayar berhampiran perairan Denmark ketika insiden dron pada 22 dan 24 September lalu.

Ia membawa 750,000 tong minyak mentah dari terminal Primorsk, Russia ke Vadinar, India sebelum dipintas kapal perang Perancis pada Ahad lalu dan diarahkan ke pelabuhan Saint-Nazaire.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyifatkan siasatan ke atas kapal tersebut sebagai perkembangan baik, manakala Kremlin pula mendakwa tidak mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan.

Pakar pertahanan laut sebelum ini mengaitkan Boracay bersama tiga kapal lain dengan insiden dron yang memaksa Lapangan Terbang Copenhagen ditutup selama empat jam pada 22 September serta Lapangan Terbang Aalborg dua hari kemudian.

Pihak berkuasa Denmark percaya dron bersaiz besar itu mungkin dilancarkan dari kapal berhampiran, namun setakat ini tiada pihak disahkan bertanggungjawab.

Media tempatan turut mengenal pasti dua kapal dagang lain, Astrol-1 dan Oslo Carrier-3, selain sebuah kapal perang Rusia, Aleksandr Shabalin berada di kawasan sama ketika kejadian.

Kapal Boracay dikenal pasti pernah menggunakan pelbagai nama seperti Varuna dan Kiwala, malah sudah beberapa kali ditahan pihak berkuasa Eropah kerana keraguan terhadap status pendaftarannya dan kini berada di bawah sekatan ekonomi Britain, EU serta negara lain.

Armada bayangan merujuk kepada rangkaian kapal yang sukar dijejaki pemiliknya, sering menukar identiti dan digunakan untuk membawa minyak serta barangan Russia bagi mengelak sekatan antarabangsa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×