STOCKHOLM: Menteri Luar Sweden, Maria Malmer Stenergard, memberi amaran tentang dakwaan mengenai aktivis alam sekitar terkenal, Greta Thunberg, didera oleh pihak berkuasa Israel selepas ditahan ketika menyertai Gaza Aid Flotilla merupakan perkara yang sangat serius sekiranya terbukti benar.
Dalam wawancara bersama agensi berita Sweden, TT, Stenergard berkata beliau telah dimaklumkan mengenai laporan yang mendakwa Thunberg mengalami layanan kasar selepas penahanannya oleh pihak berkuasa Israel.
“Saya telah mengambil maklum mengenai laporan yang mengandungi dakwaan layanan buruk. Sekiranya laporan itu benar, ia merupakan satu perkara yang amat serius,” katanya.
Menurut beliau, Kementerian Luar Sweden serta Kedutaan Sweden di Israel kini sedang berusaha membawa pulang semua warganya yang masih berada di negara berkenaan secepat mungkin.
Stenergard turut mengesahkan sebelum insiden penahanan berlaku, kerajaan Sweden telah memaklumkan kepada Israel tentang keperluan untuk menghormati keselamatan serta hak konsular aktivis Sweden yang terlibat dalam misi bantuan itu.
Pada Sabtu lalu, wartawan dan aktivis Turkiye, Ersin Çelik, yang turut menyertai Global Sumud Flotilla, mendakwa tentera Israel telah menyeksa Greta di hadapan mereka, menurut laporan agensi berita Anadolu.
Insiden itu menimbulkan kecaman meluas daripada kumpulan hak asasi dan aktivis antarabangsa yang menuntut siasatan segera terhadap dakwaan tersebut. – AGENSI










