Sean Diddy Combs dipenjara empat tahun kes jenayah seksual - Utusan Malaysia

Sean Diddy Combs dipenjara empat tahun kes jenayah seksual

SEAN DIDDY COMB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pemuzik dan penerbit tersohor Hollywood, Sean “Diddy” Combs dihukum penjara empat tahun dua bulan pada Jumaat bagi kesalahan membawa individu merentas negeri untuk tujuan hubungan seksual.

Hukuman itu sekaligus menamatkan kes berprofil tinggi yang penuh kejutan dan menjadi titik hitam dalam karier bintang hip-hop berusia 55 tahun itu.

Selain penjara, Diddy turut didenda sebanyak AS$500,000 (RM2.1 juta). Namun, dia dijangka dibebaskan dalam tempoh tiga tahun lagi kerana telah menjalani hukuman selama setahun sebelum ini.

Peguamnya memohon pembebasan segera dengan mendakwa Diddy kini telah insaf dan bebas daripada pengaruh dadah.

Kes ini bermula daripada tuduhan bahawa Diddy selama bertahun-tahun menerbangkan teman wanita dan pekerja seks lelaki ke seluruh AS untuk terlibat dalam hubungan seksual berasaskan dadah.

Walaupun dia disabitkan kesalahan di bawah undang-undang Mann Act, Diddy terselamat daripada tuduhan lebih berat seperti pemerdagangan seks dan jenayah terancang yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup.

Dalam kenyataan terakhirnya di mahkamah, Diddy mengaku perbuatannya menjijikkan dan memalukan.

“Perbuatan keganasan rumah tangga saya adalah beban yang akan saya pikul sepanjang hidup,” katanya dengan nada kesal, sambil memohon maaf kepada mangsa.

Peguamnya turut menayangkan video 11 minit memaparkan sisi keluarga, kerja amal dan kejayaannya, di mana Diddy kelihatan menangis menutup wajahnya.

Perbicaraan selama hampir dua bulan itu menyaksikan wanita-wanita tampil memberikan keterangan mengejutkan. Antaranya ialah bekas teman wanitanya, Casandra “Cassie” Ventura, yang mendakwa Diddy memaksanya melakukan seks dengan orang asing ratusan kali. Juri turut ditunjukkan rakaman CCTV Diddy memukul dan menyeret Cassie di sebuah hotel di Los Angeles.

Seorang lagi wanita, dikenali sebagai “Jane”, memberi keterangan dia dipaksa melakukan seks ketika berada dalam pengaruh dadah, sambil diperhatikan dan dirakam oleh Diddy. Seorang mangsa dijadualkan tampil di mahkamah Jumaat lalu, namun menarik diri selepas bantahan peguam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN