STOCKHOLM: Seorang saintis Amerika Syarikat (AS), Fred Ramsdell dikejutkan dengan berita memenangi Hadiah Nobel dalam bidang perubatan ketika bercuti di kawasan pergunungan di barat negara itu.
Ramsdell, seorang pakar imunologi menikmati cuti mendaki dan berkhemah bersama isterinya, Laura O’Neill, apabila beliau menerima berita berkenaan.
Menurut Setiausaha Agung Jawatankuasa Nobel, Thomas Perlmann, pihak penganjur gagal menghubungi Ramsdell kerana telefon bimbitnya berada dalam mod pesawat.
“Mereka masih berada di kawasan terpencil yang banyak beruang grizzly, jadi beliau menyangka isterinya menjerit kerana ternampak haiwan itu. Namun, jeritan itu sebenarnya kerana kegembiraan, beliau baru sahaja memenangi Hadiah Nobel,” katanya.
Perlmann memaklumkan, pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang ke hotel selepas memperbaiki kereta mereka apabila O’Neill menghidupkan telefon dan mendapati puluhan mesej ucapan tahniah.
Bercakap kepada The New York Times dari sebuah hotel di Montana, Ramsdell, 64, mengakui langsung tidak menyangka akan menerima anugerah berprestij itu.
“Saya memang tidak menjangkakan apa-apa. Ia langsung tidak terlintas di fikiran saya,” katanya.
Ramsdell berkongsi Anugerah Nobel Perubatan 2025 bersama dua lagi saintis Mary Brunkow dari Institute for Systems Biology di Seattle, dan Shimon Sakaguchi dari Universiti Osaka, Jepun.
Mereka diiktiraf bagi penemuan penting berkaitan fungsi sistem imun manusia dan bakal akan menerima hadiah bernilai 11 juta kronor Sweden (RM4.9 juta).










