LONDON: Kejatuhan Putera Andrew, anak ketiga mendiang Ratu Elizabeth II, kini dianggap ‘lengkap’ selepas Raja Charles III melucutkan semua gelaran diraja yang pernah disandang adiknya itu semalam.
Langkah drastik itu disambut baik oleh keluarga Virginia Giuffre iaitu wanita yang mendakwa menjadi mangsa serangan seksual oleh Putera Andrew yang menyifatkan keputusan Raja Charles sebagai satu kemenangan moral.
“Seorang gadis biasa dari Amerika berjaya menjatuhkan seorang putera Britain dengan keberanian dan kebenarannya,” kata keluarga Giuffre dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Sydney.
Putera Andrew mula mengenali Jeffrey Epstein pesalah seks yang disabitkan kesalahan di AS sekitar tahun 1999 melalui teman wanitanya ketika itu, Ghislaine Maxwell.
Walaupun Epstein dipenjarakan pada 2008 bagi kesalahan eksploitasi seksual remaja bawah umur, Putera Andrew masih bersama tokoh berpengaruh itu di Central Park, New York, pada 2010.
Bagaimanapun, Putera Andrew mendakwa pertemuan itu merupakan kali terakhir mereka bertemu. Namun, dokumen mahkamah kemudian mendedahkan satu emel dipercayai daripadanya kepada Epstein pada 2011 yang berbunyi ‘Kekal berhubung dan kita akan berseronok lagi!’
Epstein meninggal dunia dalam penjara pada 2019 ketika menunggu perbicaraan bagi tuduhan pemerdagangan seks yang mendapat liputan meluas di seluruh dunia.
Pada Ogos 2021, Giuffre memfailkan saman sivil terhadap Putera Andrew, mendakwa beliau dipaksa melakukan hubungan seks sebanyak tiga kali ketika berusia 17 tahun, termasuk di rumah Ghislaine Maxwell di London, kediaman Epstein di New York dan pulau peribadi milik Epstein.
Dalam memoir terbaharunya yang diterbitkan awal bulan ini, Giuffre mendakwa Putera Andrew meneka usianya dengan tepat sebelum berkata ‘Anak-anak saya hanya sedikit lebih muda daripada kamu.”
Kes berprofil tinggi itu akhirnya diselesaikan di luar mahkamah pada Februari 2022, dengan Putera Andrew bersetuju membayar pampasan dianggarkan lebih 9 juta pound (RM53 juta) tanpa mengakui sebarang kesalahan.
Putera Andrew mula berundur daripada tugas rasmi pada 2019 selepas temu bual bersama BBC yang dianggap gagal membersihkan reputasinya. Pewaris takhta kelapan diraja Britain itu juga menafikan mengenali Giuffre dan tidak mengingati sebarang pertemuan.
Pada Januari 2022, Ratu Elizabeth II melucutkan semua gelaran ketenteraan dan pertubuhan yang dinaungi oleh Putera Andrew. Manakala pada 17 Oktober lalu, beliau bersetuju untuk tidak lagi menggunakan gelaran Duke of York.
Langkah terbaharu oleh Raja Charles III menamatkan sepenuhnya kedudukan diraja adindanya itu, termasuk arahan supaya Putera Andrew meninggalkan kediamannya di Royal Lodge, Windsor tempat yang didudukinya selama dua dekad dengan bayaran sewa simbolik.
Bekas isterinya, Sarah Ferguson, yang pernah meminjam wang daripada Epstein turut tidak lagi dikenali dengan gelaran Duchess of York.
Giuffre meninggal dunia pada April lalu di Australia pada usia 41 tahun, meninggalkan suami dan tiga anak.









