BEIJING: Sekumpulan penyelidik di China mendakwa berjaya membangunkan satu inovasi revolusioner berbentuk ‘super glue’ tulang yang mampu memperbaiki patah tulang hanya dalam beberapa minit, berbanding tempoh berbulan-bulan yang diperlukan secara tradisional.
Produk yang dinamakan Bone-02 ini dibangunkan oleh penyelidik Universiti Zhejiang, Hangzhou, telah digunakan serta berjaya dalam lebih 150 kes percubaan.
Menurut pakar ortopedik Hospital Sir Run Run Shaw, Dr. Lin Xianfeng, Bone-02 hadir dalam bentuk suntikan tunggal yang mampu melekatkan serpihan tulang yang patah hanya dalam masa tiga minit.
Inovasi ini terhasil daripada usaha mencari kaedah rawatan lebih mudah bagi kecederaan ortopedik yang biasanya memerlukan pembedahan invasif serta penggunaan plat logam.
Penyelidik terinspirasi daripada tiram laut, yang mampu melekat kukuh pada permukaan bawah air walaupun dalam keadaan basah, masin dan sentiasa bergerak.
Dengan meniru mekanisme semula jadi tersebut, Bone-02 dicipta untuk mengikat tulang dengan pantas dan tahan tekanan. Antara kes yang didedahkan ialah seorang pesakit patah pergelangan tangan yang hanya menerima suntikan melalui hirisan kecil berukuran tiga sentimeter, dan tulangnya berjaya dipulihkan dalam tiga minit tanpa perlu plat logam atau pembedahan kedua.
Selepas pemeriksaan susulan tiga bulan, tulang pesakit itu pulih sepenuhnya tanpa sebarang komplikasi. Kes ini adalah antara lebih 150 kes yang direkodkan berjaya menggunakan Bone-02.
Selain mempercepatkan proses penyembuhan, Bone-02 juga mempunyai kelebihan untuk diserap secara semula jadi oleh tubuh manusia, sekali gus menghapuskan keperluan pembedahan kedua bagi membuang gam tersebut dan mengurangkan risiko jangkitan.
Bone-02 kini telah dipatenkan di dalam dan luar China, namun penyelidik menegaskan lebih banyak ujian klinikal diperlukan bagi mengesahkan keselamatan dan keberkesanannya. -AGENSI










