WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengucapkan terima kasih kepada beberapa negara Islam termasuk Qatar, Turkiye, Arab Saudi, Mesir dan Jordan yang memainkan peranan penting dalam menjayakan rundingan damai gaza.
Trump menyifatkan hari tersebut sebagai “amat istimewa” dan mungkin “belum pernah berlaku sebelum ini”, mencerminkan kejayaan diplomasi rentas sempadan yang menyatukan pelbagai kuasa demi menghentikan pertumpahan darah di Timur Tengah.
“Ini adalah hari yang besar. Kita akan lihat bagaimana hasil akhirnya. Tapi kita sudah hampir mendapatkan kata putus secara konkrit,” katanya dalam satu kenyataan media.
Trump turut menzahirkan harapannya agar para tebusan, termasuk yang berada dalam keadaan kritikal, dapat kembali ke pangkuan keluarga dalam masa terdekat.
“Saya sangat menantikan saat tebusan dapat pulang ke pangkuan ibu bapa mereka… sama ada mereka kembali dengan sihat atau tidak, keluarga mereka tetap mahukan mereka, seperti mana seorang ibu atau ayah mahukan anaknya kembali hidup,” katanya.
Menurut Trump, kejayaan rundingan ini tidak mungkin berlaku tanpa kerjasama erat pelbagai negara yang selama ini mempunyai pendirian berbeza.
“Kami menerima bantuan yang luar biasa. Semua pihak bersatu dalam satu matlamat iaitu mahu melihat perang ini berakhir dan keamanan tercapai di Asia Barat,” katanya.
Trump turut memberi jaminan semua pihak akan “dilayan secara adil”, tanpa mengira latar belakang atau pendirian politik.










