Peguam lempar kasut ke arah Ketua Hakim Negara India di mahkamah - Utusan Malaysia

Peguam lempar kasut ke arah Ketua Hakim Negara India di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Mahkamah Agung India digemparkan dengan insiden luar biasa apabila seorang peguam bertindak melontar kasut ke arah Ketua Hakim Negara, B.R. Gavai, dalam satu prosiding di Delhi pada Isnin.

Serangan simbolik itu dipercayai berpunca daripada kenyataan kontroversi berkaitan agama Hindu yang dibuat oleh Gavai sebelum ini.

Insiden tegang itu tercetus apabila peguam bernama Rakesh Kishore meluahkan kemarahan terhadap komen Ketua Hakim mengenai permohonan membina semula patung Dewa Vishnu di sebuah kuil purba di negeri Madhya Pradesh.

Kishore menjerit lantang, “India tidak akan bertolak ansur dengan penghinaan terhadap Sanatan Dharma!” sebelum diiring keluar oleh pihak keselamatan mahkamah.

Menurut saksi, kasut yang dibaling hampir mengenai Ketua Hakim Gavai dan seorang lagi hakim yang bersidang, sebelum jatuh di belakang mereka.

Walaupun dikejutkan oleh kejadian itu, Gavai kekal tenang dan mengarahkan prosiding diteruskan seperti biasa tanpa sebarang gangguan lanjut.

Setakat ini, Gavai belum mengeluarkan kenyataan rasmi, namun dalam kenyataan terdahulu beliau menegaskan beliau sentiasa menghormati semua agama.

Peguam terbabit telah digantung daripada amalan undang-undang, namun tiada pertuduhan jenayah dikenakan terhadapnya setakat ini.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, pantas mengecam insiden tersebut dan menyifatkannya sebagai “tidak boleh diterima” serta “satu penghinaan terhadap institusi kehakiman dan seluruh rakyat India.”

Katanya, tindakan ekstrem seperti ini mencemarkan nama baik sistem perundangan negara.

Kontroversi bermula apabila Gavai menolak permohonan berkaitan patung Vishnu, dan kenyataan susulannya mengenai peranan Jabatan Arkeologi India dalam isu tersebut dianggap menghina oleh sesetengah pihak berhaluan konservatif.

Insiden ini telah mencetuskan perdebatan hangat di seluruh India mengenai batas kebebasan bersuara, sensitiviti agama, serta peranan kehakiman dalam isu yang menyentuh kepercayaan awam.

Media dan ahli akademik turut menggesa agar ruang kehakiman dihormati tanpa mengorbankan kebebasan beragama rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×