SIDOARJO, Indonesia: Pasukan penyelamat mengesan tiada lagi tanda-tanda kehidupan di bawah runtuhan sebuah sekolah yang runtuh di Indonesia, kata seorang pegawai pada hari Khamis.
Kenyataan itu memberi gambaran tiada lagi mangsa terselamat akan ditemukan.
“Kami menggunakan peralatan berteknologi tinggi seperti dron terma, dan secara saintifik, tiada lagi tanda-tanda kehidupan,” kata Suharyanto, ketua agensi mitigasi bencana negara itu, semasa taklimat media di lokasi runtuhan pada hari Isnin di Jawa Timur.
Sebelum itu, pihak berkuasa Indonesia melaporkan seramai 59 orang terperangkap di bawah runtuhan bangunan sekolah berkenaan.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari, berkata jumlah tersebut dikemas kini pada Rabu pukul 11 malam dan masih boleh berubah, memandangkan ada mangsa terselamat yang belum tampil melaporkan diri.
“Data semasa menunjukkan 59 individu masih tertimbus di bawah runtuhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Insiden tragis itu berlaku pada Isnin, ketika para pelajar bersiap untuk menunaikan solat Asar.
Sekurang-kurangnya lima orang disahkan maut, manakala usaha mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan mencabar.










