Lebih 400 ditahan dalam rusuhan di Maghribi - Utusan Malaysia

Lebih 400 ditahan dalam rusuhan di Maghribi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RABAT: Pihak berkuasa Maghribi menahan lebih 400 individu berhubung siri rusuhan ganas yang tercetus sejak lima malam lalu ekoran desakan golongan muda agar kerajaan melakukan pembaharuan dalam sektor kesihatan awam dan pendidikan.

Kementerian Dalam Negeri Maghribi dalam kenyataannya berkata, malam keempat protes yang berlangsung pada Selasa menyaksikan keadaan paling tegang apabila penunjuk perasaan bertindak membakar kenderaan, merosakkan kedai dan menyerang anggota keselamatan.

Seramai 263 anggota keselamatan dan 23 orang awam dilaporkan cedera, manakala sejumlah bangunan pentadbiran, bank serta premis perniagaan di wilayah Souss termasuk Ait Amira, Inezgane, Agadir dan Tiznit serta di bandar Oujda turut dirosakkan.

Menurut kementerian itu lagi, sebanyak 142 kenderaan pasukan keselamatan dan 20 kenderaan persendirian musnah dibakar, selain puluhan kedai dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) turut dirosakkan.

Protes besar-besaran itu digerakkan oleh kumpulan anak muda tanpa identiti jelas yang menamakan diri mereka sebagai GenZ 212 melalui platform TikTok, Instagram dan aplikasi permainan Discord.

Menerusi poster dan laungan, kumpulan itu membandingkan perbelanjaan besar kerajaan untuk persiapan Piala Dunia 2030 dengan keadaan sekolah dan hospital di negara itu yang serba kekurangan.

“Stadium ada, hospital di mana?” demikian antara laungan yang bergema di jalanan sambil mendakwa berlaku rasuah berleluasa yang menjejaskan rakyat bawahan.

Walaupun kumpulan GenZ 212 menegaskan mereka menolak keganasan serta mahu meneruskan bantahan secara aman, pihak berkuasa berkata terdapat individu yang membawa pisau, melontar bom petrol dan batu ketika berdepan dengan pasukan keselamatan.

Ketegangan itu berlaku ketika Maghribi bersiap sedia menjadi tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika hujung tahun ini, selain menuju ke Pilihan Raya Parlimen 2026, sekali gus mencerminkan jurang sosial dan ekonomi yang masih menekan masyarakat terutama golongan belia.

Kementerian Dalam Negeri menegaskan pihaknya menjamin hak untuk berdemonstrasi mengikut undang-undang tetapi akan terus bertindak dengan sabar dan terkawal bagi mengekalkan ketenteraman awam. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN