Lapangan terbang lumpuh, ramai pengawal trafik udara AS ambil cuti sakit

Lapangan terbang lumpuh, ramai pengawal trafik udara AS ambil cuti sakit

LAPANGAN Terbang Antarabangsa O’Hare di Chicago antara yang paling teruk terjejas. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kekurangan pengawal trafik udara semakin memburuk di Amerika Syarikat (AS) apabila beberapa lapangan terbang utama terjejas teruk kelmarin ekoran penutupan kerajaan persekutuan yang memasuki hari ketujuh.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memberi amaran menara kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare, Chicago, tidak akan mempunyai kakitangan mencukupi sepanjang sembilan jam pada malam tersebut.

Kemudahan kawalan penerbangan di Nashville juga terpaksa ditutup selama lima jam selepas ramai pengawal mengambil cuti sakit secara mendadak. Semua pesawat yang menuju ke lapangan terbang tersebut terpaksa berhubung dengan pusat kawalan wilayah di Memphis untuk memasuki ruang udara.

Insiden serupa turut berlaku di Houston, Newark, Las Vegas, Boston, Atlanta, Philadelphia dan Dallas. Akibatnya, kelewatan di landasan meningkat dengan purata kelewatan di O’Hare mencecah 41 minit manakala penerbangan ke Nashville ditangguhkan selama dua jam secara purata.

Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy berkata semakin ramai pengawal trafik udara melaporkan mereka tidak sihat dan perlu mengambil cuti.

Walaupun tergolong dalam kategori pekerja penting dan wajib bekerja walaupun tanpa gaji, tekanan akibat ketidaktentuan bayaran gaji mula dirasai.

“Ini adalah punca pendapatan mereka. Jika tiada gaji, bagaimana mereka mahu bayar sewa rumah atau beli makanan?” katanya dalam wawancara bersama Fox News.

Tarikh bayaran gaji seterusnya adalah pada 14 Oktober. Namun, jika kerajaan tidak dibuka semula sebelum itu, kakitangan hanya akan dibayar untuk kerja sebelum penutupan.

Sekiranya penutupan berlarutan, 28 Oktober bakal menjadi hari pertama pengawal tidak menerima sebarang bayaran gaji.

Presiden Persatuan Pengawal Trafik Udara Kebangsaan (NATCA), Nick Daniels menyatakan sistem kawalan udara berada dalam keadaan rapuh dan kekurangan kakitangan yang kritikal.

“Kita bekerja dengan peralatan yang tidak boleh diharap, dalam sistem yang tiada cukup simpanan. Kami terus berurusan dengan FAA bagi menyelesaikan isu ini secara berterusan,” katanya.

NATCA menasihatkan ahlinya tidak menyalahgunakan cuti sakit demi menjaga imej profesionalisme.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN