TEHERAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengumumkan kerajaan mempertimbangkan secara serius untuk memindahkan ibu negara dari Teheran ke wilayah selatan, susulan krisis sumber air dan ancaman penurunan tanah yang membimbangkan.
Menurut beliau, Teheran kini terlalu padat dan mengalami tekanan melampau terhadap infrastruktur asas seperti bekalan air, selain terdedah kepada risiko geologi seperti tanah tenggelam sehingga 30 sentimeter setahun.
Dalam lawatannya ke wilayah Hormozgan, yang terletak di pesisir Teluk Parsi bertentangan dengan Dubai, Pezeshkian berkata, beliau sudah membentangkan cadangan tersebut kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei tahun lalu, walaupun idea itu menerima banyak kritikan awal.
Katanya, Hormozgan memiliki potensi strategik besar untuk pembangunan masa depan Iran, termasuk akses terus ke perairan antarabangsa dan peluang perluasan hubungan perdagangan serta pelaburan luar.
“Jika kita melihat semula kapasiti rantau ini dengan pandangan strategik, kita boleh mencipta kawasan yang makmur dan moden,” katanya.
Iran kini berdepan krisis air yang semakin kronik dengan Teheran mempunyai lebih 10 juta penduduk dan menggunakan hampir 25 peratus daripada keseluruhan bekalan air negara.
Namun, empangan utama yang menyokong bandar ini semakin kering, dan tekanan terhadap air bawah tanah meningkat setiap tahun.
Presiden itu turut mendedahkan jumlah hujan pada tahun lalu hanya sekitar 140 milimeter (mm), jauh di bawah purata kebangsaan sebanyak 260mm.
Pezeshkian berkata, jika Iran berhasrat untuk membawa air dari selatan ke Teheran, kosnya boleh mencecah sehingga 4 euro (RM20) bagi setiap meter padu air.
“Kita tidak boleh terus membina bandar tanpa mengambil kira daya tahan sumber dan kos sebenar pembangunan. Jika keseimbangan ini gagal dicapai, seluruh projek pembangunan akan hancur,” ujarnya.










