SIDOARJO: Operasi mencari mangsa runtuhan sekolah pondok Islam Al Khoziny di Indonesia minggu lalu berakhir pada Selasa dengan angka korban meningkat kepada 67 orang, menurut pegawai penyelamat.
Sebahagian bangunan sekolah agama berasrama penuh bertingkat di Pulau Jawa itu runtuh pada 29 September ketika lebih 170 pelajar berkumpul bagi menunaikan solat Asar.
“Memasuki hari kesembilan, kami secara rasmi menamatkan operasi mencari dan menyelamat mangsa,” kata Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Mohammad Syafii, pada sidang media.
Pengarah operasi agensi itu, Yudhi Bramantyo berkata, pasukan penyelamat pada Selasa sudah membersihkan semua runtuhan di lokasi kejadian dan mengesahkan kemungkinan menemukan lebih banyak mayat kini sangat tipis.
“Jumlah keseluruhan mangsa yang dikeluarkan ialah 171 orang, dengan 67 disahkan maut, termasuk lapan bahagian tubuh, manakala 104 orang terselamat,” katanya pada sidang media sama.
Timbalan ketua Agensi Bencana Nasional (BNPB), Budi Irawan turut mengesahkan tiada lagi mayat mangsa dipercayai tertinggal di lokasi runtuhan.
Setakat ini, hanya 17 mayat berjaya dikenal pasti, menurut unit Pengenalpastian Mangsa Bencana polis.
Kejadian itu merupakan bencana paling maut di Indonesia setakat tahun ini, menurut BNPB.
Siasatan terhadap punca runtuhan masih dijalankan, namun pakar berkata, petunjuk awal menunjukkan kualiti binaan yang lemah mungkin menjadi faktor penyumbang.
Keluarga mangsa yang masih hilang minggu lalu bersetuju agar jentera berat digunakan selepas tempoh 72 jam untuk peluang terbaik menyelamatkan mangsa berakhir.
Standard pembinaan yang longgar turut mencetuskan kebimbangan meluas mengenai keselamatan struktur bangunan di Indonesia.
Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan puluhan cedera bulan lalu apabila sebuah bangunan yang digunakan untuk majlis zikir runtuh di Jawa Barat.-AFP










