Kemasukan pelajar Asia ke AS turun sebanyak 24 peratus - Utusan Malaysia

Kemasukan pelajar Asia ke AS turun sebanyak 24 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jumlah pelajar dari Asia yang memasuki Amerika Syarikat (AS) pada bulan Ogos tahun ini menurun hampir 24 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut data terbaharu kerajaan AS sekali gus mencatatkan angka terendah bagi bulan tersebut sejak pandemik COVID-19.

Data yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa (ITA) di bawah Jabatan Perdagangan AS itu merangkumi pelajar baharu serta pelajar sedia ada yang kembali ke negara tersebut bagi memulakan semester musim luruh.

Bulan Ogos lazimnya menjadi penanda aras penting kepada jumlah kemasukan pelajar antarabangsa kerana kebanyakan mereka tiba untuk memulakan pengajian pada semester yang bermula Ogos atau September.

Penurunan mendadak itu berlaku seiring dengan beberapa dasar baharu yang diperkenalkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump, termasuk kelewatan proses visa, larangan perjalanan terhadap beberapa negara Asia, ancaman pengusiran pelajar asing kerana pandangan politik tertentu, serta kawalan lebih ketat terhadap pemohon visa dari China dan Hong Kong.

Menurut laporan itu, ramai pelajar antarabangsa yang biasanya pulang ke negara asal semasa cuti semester memilih untuk kekal di AS tahun ini kerana bimbang tidak dibenarkan masuk semula walaupun memiliki visa sah.

Benua Asia yang didefinisikan secara berasingan daripada Timur Tengah oleh ITA menyumbang lebih 191,000 pelajar atau 60 peratus daripada keseluruhan kemasukan pelajar antarabangsa ke AS pada bulan Ogos.

China dan India kekal sebagai dua negara penyumbang utama, masing-masing dengan lebih 86,000 dan 41,000 kemasukan pelajar.

Namun, kedua-duanya mencatatkan penurunan ketara berbanding tahun lalu masing-masing turun 12.4 peratus bagi China dan 44.5 peratus bagi India manakala Hong Kong turut merekodkan penurunan sebanyak 7.7 peratus.

Secara keseluruhan, jumlah pelajar antarabangsa yang memasuki AS jatuh 19.1 peratus, daripada kira-kira 387,000 pada Ogos 2024 kepada hanya 313,000 tahun ini.

Beberapa rantau lain turut mencatatkan penurunan dua angka, termasuk Afrika, Amerika Selatan dan Timur Tengah, manakala Eropah Barat menunjukkan penurunan kecil hanya 0.7 peratus.

Afrika menjadi rantau paling terjejas dengan kemasukan pelajar baharu merosot hampir sepertiga.

Ketika ini, AS menempatkan lebih 1 juta pelajar antarabangsa di universiti dan kolej seluruh negara namun, kenyataan bercanggah dari Washington kebelakangan ini menimbulkan kekeliruan.

Pada Mei lalu, Setiausaha Negara Marco Rubio berkata pentadbirannya akan menggantung visa pelajar China secara agresif, manakala Trump pada Ogos menyatakan beliau akan membenarkan 600,000 pelajar China belajar di AS, iaitu lebih dua kali ganda daripada angka semasa.

Pertubuhan pendidikan antarabangsa memberi amaran penurunan mendadak jumlah pelajar luar negara boleh memberi kesan ekonomi besar kepada AS serta menjejaskan daya saing dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×