CHICAGO: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan isu eksport kacang soya akan menjadi antara topik utama yang dibincangkan apabila beliau bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping, dalam masa empat minggu akan datang.
Menurut Trump, tindakan China yang tidak membeli kacang soya dari AS adalah kerana alasan perundingan semata-mata.
“Petani kacang soya negara kita terjejas kerana China, untuk tujuan ‘perundingan’ sahaja, enggan membeli,” tulis beliau di platform Truth Social.
Sejak tercetusnya perang perdagangan antara Washington dan Beijing, pengimport China belum membuat sebarang pembelian kacang soya daripada hasil tuaian musim luruh AS.
Keadaan ini menyebabkan petani AS mengalami kerugian yang dianggarkan mencecah berbilion dolar.
Musim luruh adalah waktu utama untuk pemasaran kacang soya AS, ketika petani mula menuai hasil baharu dari ladang mereka.
Namun, China sebagai pengimport kacang soya terbesar dunia kini mengalihkan tumpuan kepada pembekal dari Amerika Selatan yang secara langsung memberi tekanan kepada harga kacang soya AS.
Senator AS dari North Dakota, John Hoeven, berkata tiada jangka masa yang jelas mengenai bila China akan menyambung semula pembelian.
Dalam satu taklimat bersama Duta AS ke China, David Perdue, tiada sebarang indikasi jualan akan berlaku dalam masa terdekat.
Trump dan Jinping dijadualkan bertemu secara langsung pada penghujung Oktober ini sempena forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang akan diadakan di Gyeongju, Korea Selatan.
Katanya, pertemuan itu adalah lanjutan daripada perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin bulan lalu.
Trump mahu melawat China pada awal tahun depan, manakala Jinpingi dijangka membuat lawatan balasselepas itu.









