WASHINGTON: Sebuah laporan dalaman kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengenal pasti ratusan kemungkinan pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh Israel semasa operasi ketenteraan di Gaza sejak Oktober 2023, lapor The Washington Post.
Menurut laporan eksklusif akhbar itu, penemuan berkenaan merangkumi insiden serangan terhadap kawasan awam, penggunaan kekuatan berlebihan serta sekatan terhadap bantuan kemanusiaan yang memasuki wilayah Gaza.
Penilaian tersebut dijalankan oleh pegawai Jabatan Negara AS sebagai sebahagian daripada proses pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk Akta Leahy, yang melarang pemberian bantuan ketenteraan kepada unit asing yang terbukti terlibat dalam pelanggaran serius hak asasi manusia.
Sumber kerajaan yang dipetik berkata, laporan itu belum lagi didedahkan secara rasmi kepada umum, namun ia telah mencetuskan tekanan politik terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump untuk menilai semula sokongan ketenteraan dan diplomatik kepada Israel.
Beberapa ahli Kongres serta pertubuhan hak asasi manusia di AS dilaporkan menggesa ketelusan penuh berhubung penemuan tersebut dan meminta siasatan lanjut dijalankan bagi menentukan sama ada Israel melanggar undang-undang antarabangsa semasa operasi ketenteraannya di Gaza.
“Jika laporan ini disahkan, Washington perlu menilai semula komitmen sokongan ketenteraan terhadap Israel selaras dengan prinsip undang-undang AS sendiri,” kata seorang ahli Kongres yang tidak dinamakan kepada The Washington Post.
Israel bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dan menegaskan bahawa semua tindakan ketenteraannya adalah sah dari segi undang-undang antarabangsa serta bertujuan mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman kumpulan Hamas.
Laporan tersebut turut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penggubal dasar dan pemerhati antarabangsa mengenai dasar luar AS yang selama ini dianggap terlalu memihak kepada Israel walaupun berdepan tuduhan pencabulan hak asasi di Gaza.
Penganalisis berpendapat, sekiranya hasil siasatan itu disahkan, ia boleh memberi kesan besar terhadap dasar bantuan ketenteraan AS kepada Israel serta hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

 
								 
											









