WASHINGTON: Hos dan penganalisis politik CNN, Van Jones, tampil memohon maaf pada Ahad selepas menerima kecaman hebat berikutan kenyataannya mengenai gambar kanak-kanak Palestin yang terkorban di Gaza, lapor Anadolu.
Jones sebelum itu membuat kenyataan dalam rancangan ‘Overtime with Bill Maher’ di HBO, di mana beliau membincangkan pandangan generasi muda terhadap Israel yang menurutnya dipengaruhi oleh kempen disinformasi besar-besaran yang dijalankan oleh Iran dan Qatar di platform seperti TikTok dan Instagram.
“Kalau anda anak muda, buka sahaja telefon dan apa yang anda lihat hanyalah gambar bayi Gaza mati, bayi Gaza mati, bayi Gaza mati… Itulah kandungan dalam suapan media sosial anda,” katanya dalam rancangan tersebut, kenyataan yang segera mencetuskan kemarahan ramai pihak.
Ulama dan aktivis terkenal Amerika Syarikat (AS) Omar Suleiman, menyifatkan komen Jones sebagai memalukan dan menjijikkan.
“Saya minta maaf jika gambar bayi Gaza yang mati begitu mengganggu anda. Mungkin lebih baik anda suruh pihak yang membayar anda supaya berhenti membunuh mereka,” tulisnya di platform X.
Susulan itu, Van Jones mengakui kesilapannya dan memohon maaf secara terbuka.
“Ya, saya tersilap kali ini. Saya cuba membangkitkan isu tentang pengaruh asing di media sosial, tetapi cara saya menyampaikannya sangat tidak sensitif
“Kanak-kanak mati setiap hari di Gaza. Tiada siapa patut memperlekehkan hal ini. Kepada mereka yang hidup dalam ketakutan dan kehilangan ahli keluarga, saya mohon maaf,” tambahnya.
Dalam satu lagi hantaran susulan, Jones menegaskan bahawa penderitaan rakyat Gaza, khususnya kanak-kanak, bukan bahan jenaka dan mengakui kenyataannya terdahulu telah menyakiti hati ramai pihak.
“Apa yang berlaku kepada kanak-kanak di Gaza sangat menyayat hati. Saya benar-benar kesal jika kenyataan saya memberi gambaran sebaliknya,” katanya sambil menzahirkan harapan agar perang itu berakhir segera dan keamanan dikembalikan kepada semua keluarga yang terjejas. -AGENSI










