GAZA: Seorang pemimpin kanan kumpulan Hamas semalam memaklumkan pihaknya sedang berkoordinasi dengan pelbagai pihak bagi memastikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza dilaksanakan seperti yang dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata dengan Israel, lapor agensi Anadolu.
Anggota Biro Politik Hamas, Izzat al-Rishq, dalam satu kenyataan menegaskan pergerakan itu komited untuk menggembleng segala sumber dan usaha bagi membantu rakyat Gaza, meskipun berdepan kemusnahan besar akibat genosid Israel serta kehancuran total terhadap kehidupan harian di wilayah itu.
“Hamas terus menjalinkan komunikasi dengan negara-negara sahabat dan pelbagai pihak bagi menjamin kemasukan bantuan dan misi kemanusiaan ke Gaza,” katanya.
Beliau turut menegaskan Hamas sedang berusaha memastikan Israel mematuhi semua syarat dalam perjanjian gencatan senjata, termasuk yang berkaitan dengan pemulihan, pembinaan semula serta memastikan kehidupan bermaruah untuk seluruh rakyat Palestin.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel mula berkuat kuasa pada Jumaat lalu.
Perjanjian itu membenarkan ratusan trak bantuan memasuki Gaza bagi mengelakkan krisis kebuluran yang melanda lebih 2.4 juta penduduk wilayah berkenaan.
Namun, sumber Palestin memberitahu Anadolu sejumlah besar trak bantuan masih tidak dibenarkan masuk melalui lintasan Kerem Shalom di selatan Gaza pada Sabtu, dan kini berada di bawah kawalan tentera Israel.
Menurut sumber itu lagi, jumlah bantuan yang berjaya memasuki Gaza setakat ini tidak menunjukkan sebarang peningkatan luar biasa seperti yang dijanjikan di bawah perjanjian gencatan senjata, sebaliknya kekal pada kadar biasa seperti bulan-bulan sebelumnya.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Rabu lalu mengumumkan Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan 20 perkara yang dibentangkannya pada 29 September bagi menamatkan konflik di Gaza.
Pelan tersebut turut merangkumi pembebasan semua tebusan Israel sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin, serta pengunduran secara berperingkat tentera Israel dari seluruh Semenanjung Gaza.
Fasa kedua pelan berkenaan pula mencadangkan pembentukan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza tanpa penglibatan Hamas, penubuhan pasukan keselamatan yang terdiri daripada warga Palestin serta anggota dari negara Arab dan Islam, dan pelucutan senjata Hamas sepenuhnya.
Sejak serangan Israel yang bermula pada Oktober 2023, lebih 67,600 rakyat Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh di Gaza, manakala wilayah itu kini berada di ambang kemusnahan dan tidak lagi layak didiami. -AGENSI










