Hakim Mahkamah Rayuan Albania maut ditembak tertuduh semasa perbicaraan - Utusan Malaysia

Hakim Mahkamah Rayuan Albania maut ditembak tertuduh semasa perbicaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIRANA: Seorang hakim Mahkamah Rayuan Albania, Astrit Kalaja, maut selepas ditembak oleh seorang tertuduh dalam kes pertikaian harta di ibu negara Tirana, semalam.

Insiden tragis itu berlaku ketika prosiding berlangsung, apabila suspek yang merupakan individu dibicarakan dalam kes berkenaan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.

Menurut kenyataan rasmi polis, mangsa dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami dalam perjalanan.

Dua lagi individu iaitu seorang bapa dan anak turut cedera dalam kejadian tersebut dan kini dilaporkan stabil.

Jurucakap polis memaklumkan suspek ditahan di lokasi kejadian dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar di sebalik serangan itu.

Media tempatan melaporkan suspek bertindak agresif selepas menyedari kemungkinan besar akan kalah dalam tuntutan harta yang sedang dibicarakan, sebelum nekad menyerang hakim.

Kejadian itu mencetuskan kecaman meluas daripada pimpinan tertinggi negara, yang melihatnya sebagai satu ancaman serius terhadap sistem perundangan Albania.

Perdana Menteri Albania, Edi Rama, menyifatkan insiden tersebut sebagai satu tragedi besar dan menyeru hukuman lebih berat dikenakan terhadap jenayah bersenjata.

“Serangan ini bukan sahaja meragut nyawa seorang hakim, malah menggugat integriti keseluruhan sistem keadilan negara. Undang-undang perlu dilaksanakan dengan sekeras-kerasnya terhadap penyerang,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden Albania, Bajram Begaj, turut mengutuk insiden berkenaan, menyifatkannya sebagai “serangan dahsyat terhadap institusi keadilan”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×